WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan senarai pemimpin dunia yang akan menganggotai Lembaga Keamanan Gaza Board dijangka diumumkan pada awal tahun depan.
Katanya, ramai pemimpin antarabangsa menunjukkan minat untuk menyertai badan itu yang diwujudkan di bawah pelan Gaza bagi menyokong pelaksanaan gencatan senjata antara Israel dan Hamas.
“Raja-raja, presiden, perdana menteri semuanya mahu berada dalam Lembaga Keamanan ini.
“Ia akan menjadi antara lembaga paling berpengaruh pernah diwujudkan. Semua mahu terlibat,” kata Trump.
Pada 17 November lalu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) meluluskan satu resolusi yang memberi mandat kepada penubuhan Lembaga Keamanan Gaza serta pembentukan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) sementara di Gaza.
Resolusi itu digubal oleh AS sebagai sebahagian daripada pelan damai 20 perkara yang dilancarkan Trump.
Menurut dokumen berkenaan, lembaga tersebut akan bertindak sebagai pentadbiran peralihan bagi menyelaras dana dan menetapkan rangka kerja pembinaan semula Gaza.
Ia akan berfungsi sehingga Pihak Berkuasa Palestin (PA) menyempurnakan program reformasi dan mampu mengambil alih pentadbiran Gaza secara selamat serta berkesan.
Usaha penubuhan lembaga itu langkah penting untuk memastikan kestabilan jangka panjang di wilayah berkenaan, selepas berbulan-bulan konflik yang menyaksikan gencatan senjata dicapai namun kekal rapuh.










