Ramai kanak-kanak terpengaruh guna kosmetik seawal usia 3 tahun

Ramai kanak-kanak terpengaruh guna kosmetik seawal usia 3 tahun

ADA syarikat pengeluar kosmetik menyasarkan kanak-kanak berusia seawal tiga tahun untuk menggunakan produk mereka. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Trend kecantikan dalam TikTok mencetuskan kebimbangan apabila semakin banyak jenama kosmetik menyasarkan kanak-kanak seawal usia tiga tahun.

Pakar dermatologi menyatakan kulit kanak-kanak tidak memerlukan produk kecantikan, namun permintaan meningkat akibat pengaruh media sosial.

Jenama baharu seperti Rini, disokong pelakon Kanada Shay Mitchell, melancarkan rangkaian masker muka kanak-kanak bertemakan haiwan yang dijual sekitar AS$35 (RM144).

Di Amerika Syarikat (AS), Evereden turut memasarkan toner, pelembap dan semburan muka untuk praremaja, malah mendakwa jualan melebihi AS$100 juta (RM413 juta) setahun.

Fenomena ini turut dipacu oleh kemunculan ‘Sephora Kids’, gelaran kepada kanak-kanak perempuan Generasi Alpha yang meniru influencer kecantikan di TikTok dan YouTube. Ada di antara mereka hanya berusia tujuh tahun, namun sudah mengamalkan rutin penjagaan kulit yang kompleks seperti orang dewasa.

Penyelidik dari Universiti Northwestern, Molly Hales, mendapati kanak-kanak dalam video TikTok menggunakan sehingga 14 produk sekali gus, termasuk krim antipenuaan.

Kajian terhadap 100 video menunjukkan purata enam produk digunakan dalam satu rutin dengan kos mencecah AS$168 (RM693), sekali gus meningkatkan risiko alergi dan iritasi kulit.

Kajian turut mendedahkan jenama popular seperti Glow, Drunk Elephant dan The Ordinary kerap muncul dalam kandungan kanak-kanak, walaupun produk tersebut mengandungi sehingga 21 bahan aktif yang boleh menjejaskan kulit pediatrik.

Pakar mengingatkan penggunaan kosmetik dewasa pada kanak-kanak boleh menjejaskan perkembangan hormon akibat pendedahan kepada bahan kimia tertentu.

Walaupun pengasas jenama seperti Rini berhujah mereka menawarkan produk yang lebih selamat dan lembut, pakar dermatologi menegaskan produk tersebut tetap tidak diperlukan.

Mereka bimbang trend ini mewujudkan tekanan kecantikan, selain membentuk persepsi bahawa kanak-kanak perlu kelihatan ‘sempurna’ melalui rutin harian yang mahal dan memakan masa.

Pakar dermatologi Perancis, Pierre Vabres, memberi amaran pendedahan awal kepada rutin kecantikan boleh memberi kesan psikologi kepada kanak-kanak. Katanya, ia berisiko menjadikan kanak-kanak ‘dewasa awal’ yang terlalu memikirkan penampilan, seterusnya memberi imej diri yang tidak sihat dan tidak realistik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN