Polis Britain guna teknologi pengecaman wajah jejak penjenayah

Polis Britain guna teknologi pengecaman wajah jejak penjenayah

TEKNOLOGI pengecaman wajah diuji di kawasan bandar London dan Leeds.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Penggunaan teknologi pengecaman wajah akan diperluaskan di seluruh pasukan polis Britain untuk membantu menjejaki penjenayah dan mencadangkan penubuhan sebuah badan baharu bagi memantau penggunaannya.

Teknologi itu sudah pun digunakan oleh Polis Metropolitan London yang melakukan 1,300 tangkapan dalam tempoh dua tahun lalu menggunakan pengecaman wajah termasuk perogol, individu penganiayaan domestik dan penjenayah ganas serta mengesan lebih 100 pesalah seksual yang melanggar syarat lesen mereka.

Bagaimanapun, kumpulan kebebasan sivil Big Brother Watch menyifatkan rancangan perluasan penggunaan pengecaman wajah sebagai ancaman serius terhadap privasi.

“Undang-undang di Eropah melindungi orang awam daripada pengawasan besar-besaran melalui pengecaman wajah, tetapi Britain mewujudkan pengecualian dalam dunia demokrasi apabila orang ramai kini diperhatikan oleh kamera ini dan dilayan seperti suspek hampir setiap hari,” kata kumpulan itu dipetik Reuters.

Polis Metropolitan menggunakan pengecaman wajah secara langsung pada acara besar seperti perlawanan bola sepak dan Karnival Notting Hill untuk mengenal pasti individu dalam senarai pemantauan mereka.

Teknologi itu juga membantu polis menjalankan siasatan jenayah dengan meneliti rakaman daripada telefon bimbit, loceng pintu berkamera dan kamera litar tertutup (CCTV) sebelum memadankannya dengan pangkalan data imej individu yang diambil ketika penahanan.

Menteri Jenayah dan Kepolisan, Sarah Jones berkata, pengecaman wajah merupakan kejayaan terbesar dalam menangkap penjenayah selepas padanan asid deoksiribonukleik DNA.

“Ia telah membantu mengeluarkan ribuan penjenayah berbahaya dari jalanan dan mempunyai potensi besar untuk mengukuhkan keselamatan masyarakat.

“Kami akan memperluaskan penggunaannya supaya pasukan polis dapat menempatkan lebih ramai penjenayah di penjara dan menangani jenayah dalam komuniti mereka,” katanya.

Kerajaan turut mengumumkan akan melancarkan konsultasi selama 10 minggu untuk menilai manfaat teknologi itu dan sebarang perlindungan yang diperlukan bagi memastikan keyakinan orang ramai, termasuk aspek privasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN