WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mempertimbangkan syarat baharu yang bakal mewajibkan pelancong asing termasuk dari United Kingdom (UK) menyerahkan sejarah media sosial selama lima tahun sebagai syarat kemasukan.
Syarat itu akan terpakai kepada pelawat dari puluhan negara yang layak memasuki AS selama 90 hari tanpa visa, selagi mereka mengisi borang Electronic System for Travel Authorization (ESTA).
Sejak kembali ke Rumah Putih pada Januari, Presiden AS Donald Trump memperketat kawalan sempadan atas alasan keselamatan negara. Penganalisis memberi amaran langkah baharu ini mungkin menjadi halangan kepada bakal pelawat atau menjejaskan hak digital mereka.
Ditanya sama ada cadangan itu akan menyebabkan kejatuhan ketara dalam jumlah pelancong, Trump berkata beliau tidak bimbang.
“Tidak. Kita berada dalam keadaan baik. Kita hanya mahu orang datang ke sini dengan selamat. Kita mahukan keselamatan.
Kita mahukan sekuriti. Kita mahu pastikan kita tidak membenarkan individu yang salah memasuki negara ini,” katanya.
AS menjangkakan kemasukan besar pelancong asing tahun depan berikutan penganjuran Piala Dunia FIFA bersama Kanada dan Mexico, serta Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.
Cadangan itu difailkan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) dan agensi di bawahnya, Perlindungan Kastam dan Sempadan (CBP), sebelum diterbitkan dalam Federal Register, jurnal rasmi kerajaan AS.
Menurut dokumen itu, data yang diperlukan akan mewajibkan pemohon ESTA memberikan media sosial mereka untuk tempoh lima tahun yang lalu, tanpa menjelaskan butiran spesifik maklumat yang akan diminta.









