NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan dua resolusi yang menegaskan semula tuntutan masyarakat antarabangsa agar Israel menamatkan pendudukan berlarutan di wilayah Palestin dan Dataran Golan di Syria.
Dalam resolusi pertama bertajuk ‘Penyelesaian Secara Damai Persoalan Palestin’, Perhimpunan Agung PBB (UNGA) menerima pakai draf yang dikemukakan oleh Djibouti, Jordan, Mauritania, Qatar, Senegal dan Palestin.
Usul tersebut diluluskan dengan 151 undian menyokong, 11 menentang dan 11 berkecuali.
Resolusi itu mengulangi tanggungjawab PBB terhadap isu Palestin, menyeru penamatan pendudukan sejak 1967 serta menegaskan kepentingan penyelesaian dua negara.
Ia turut menuntut Israel menghentikan aktiviti penempatan haram dan mematuhi undang-undang antarabangsa.
Selain itu, resolusi berkenaan menggesa rundingan damai disambung semula dan mengingatkan negara-negara agar tidak mengiktiraf sebarang perubahan sempadan.
PBB turut menyeru penyaluran bantuan lebih besar kepada rakyat Palestin di tengah krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.
Dalam resolusi kedua, UNGA meluluskan usul yang menegaskan pendudukan berterusan Israel di Dataran Golan Syria serta usaha de facto untuk menggabungkannya adalah ‘tidak sah’ dan menuntut pengunduran penuh ke garis sempadan yang ditetapkan pada 4 Jun 1967.
Draf yang dikemukakan oleh Mesir itu diluluskan dengan 123 undian menyokong, tujuh menentang dan 41 berkecuali.
Resolusi tersebut menegaskan keputusan Israel pada 14 Disember 1981 untuk mengenakan undang-undang, bidang kuasa dan pentadbirannya ke atas Dataran Golan yang diduduki adalah terbatal dan tidak mempunyai sebarang kesahan.
Anggota pertubuhan itu sekali lagi menuntut Israel berundur sepenuhnya dari Dataran Golan Syria selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) berkaitan, sambil menegaskan pendudukan dan cubaan penggabungan wilayah itu merupakan halangan besar kepada usaha mencapai keamanan yang adil, menyeluruh dan berkekalan di rantau tersebut.-AGENSI










