WASHINGTON: Panel penasihat vaksin di Amerika Syarikat (AS) mengundi untuk menamatkan saranan yang lama diguna pakai agar semua bayi diberi vaksin terhadap virus hepatitis B (HBV) sejurus selepas dilahirkan.
Keputusan Jawatankuasa Penasihat Amalan Vaksinasi (ACIP) mengundi 8-3 untuk menyokong pendekatan ‘keputusan berdasarkan individu’, yang membolehkan ibu bapa memilih sama ada bayi yang lahir daripada ibu yang diuji negatif HBV perlu divaksin atau tidak.
Sejak 1991, AS mengesyorkan vaksinasi hepatitis B untuk bayi baru lahir dan data menunjukkan vaksin tersebut Berjaya menghalang kira-kira 90,000 kematian.
Beberapa jam selepas keputusan itu, Presiden AS, Donald Trump mengarahkan pegawai kesihatan tertinggi untuk menyemak semula semua saranan vaksin kanak-kanak di AS.
Dalam memo Rumah Putih, beliau meminta kajian tentang amalan terbaik dari negara maju lain, dan mengarahkan agar jadual vaksinasi AS diubah jika didapati amalan luar negara lebih baik.
Trump juga memuji keputusan panel itu sebagai Langkah yang ‘sangat baik’ melalui hantaran media sosial.
ACIP bertanggungjawab memberi cadangan kepada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) tentang siapa dan bila perlu divaksin. Pengarah sementara CDC mempunyai kata putus akhir terhadap cadangan tersebut.
Panduan baharu juga menyarankan bayi yang tidak menerima dos lahir vaksin hepatitis B perlu diberikan dos pertama tidak lebih awal daripada umur dua bulan, satu cadangan yang ditentang oleh beberapa ahli panel.
Pakar kesihatan awam bimbang keputusan ini boleh menimbulkan kebimbangan keselamatan yang tidak berasas dan mendorong sesetengah ibu bapa untuk menolak vaksin, sekali gus meningkatkan risiko penyakit.
“Syor vaksin hepatitis B sudah lama diterima. Kami tahu ia selamat dan berkesan. Perubahan yang dicadangkan ini akan menyebabkan lebih ramai kanak-kanak, remaja dan dewasa dijangkiti hepatitis B,” kata ahli panel ACIP yang menentang cadangan itu, Dr. Cody Meissner.
Panel masih mengekalkan saranan bayi yang lahir daripada ibu yang positif HBV perlu diberi dos lahir vaksin. Keputusan ini dijangka tidak menjejaskan perlindungan insurans bagi vaksin tersebut.
Hepatitis B ialah jangkitan hati yang merebak melalui sentuhan dengan cecair badan dan boleh membawa kepada penyakit hati serius seperti kanser hati, kegagalan hati dan sirosis.
Ibu hamil yang dijangkiti HBV juga boleh menularkan virus kepada bayi semasa bersalin, yang boleh menyebabkan jangkitan kronik. Sesetengah individu yang dijangkiti HBV tidak menunjukkan gejala, menjadikan mereka tidak sedar boleh menyebarkan virus.-AGENSI










