Pakistan sedia sertai pasukan penstabilan Gaza, tolak pelucutan senjata Hamas - Utusan Malaysia

Pakistan sedia sertai pasukan penstabilan Gaza, tolak pelucutan senjata Hamas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Pakistan pada Sabtu menyatakan kesediaannya untuk menyertai kemungkinan pembentukan pasukan penstabilan antarabangsa di Gaza, namun menegaskan negara itu enggan melucut senjata kumpulan pejuang Palestin, Hamas, lapor Anadolu.

“Jika tujuan penugasan pasukan penstabilan antarabangsa di Palestin adalah untuk melucut senjata Hamas, kami tidak bersedia untuk itu. Itu bukan tugas kami,” kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar, Ishaq Dar, kepada pemberita di Islamabad.

“Itu adalah tugas agensi penguatkuasaan undang-undang Palestin,” tambahnya.

Beliau berkata jika objektif pasukan tersebut adalah operasi pengaman, Islamabad pasti bersedia menyumbang kepakaran dan anggota.

“Perdana Menteri (Shehbaz Sharif) secara prinsip telah bersetuju untuk menghantar pasukan, tetapi keputusan hanya akan dibuat selepas mengetahui terma rujukan, ruang lingkup tindakan dan mandatnya,” katanya.

Dar turut memaklumkan bahawa beliau hadir dalam rundingan awal ketika isu pembentukan pasukan penstabilan dibincangkan dan Indonesia menawarkan 20,000 anggota tentera.

“Tetapi menurut maklumat saya, jika mandat itu termasuk melucut senjata Hamas, rakan sejawatan saya dari Indonesia turut menyatakan kebimbangan secara tidak rasmi,” kata Dar.

Awal bulan ini, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi yang digubal Amerika Syarikat (AS) bagi menubuhkan sebuah lembaga peralihan baharu untuk keamanan, serta memberi kuasa kepada pasukan penstabilan antarabangsa bagi mengawasi tadbir urus, pembinaan semula dan usaha keselamatan di Gaza.

Resolusi itu menetapkan bahawa lembaga peralihan dan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) akan terus diberi kuasa sehingga 31 Disember 2027, tertakluk kepada tindakan lanjut Majlis (Keselamatan), dan sebarang pembaharuan mandat ISF mesti dibuat dengan kerjasama penuh dan penyelarasan bersama Mesir serta Israel, serta negara anggota lain yang bekerjasama dengan ISF. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×