NEW DELHI: Lebih 200,000 kes penyakit pernafasan akut direkodkan di enam hospital kerajaan di New Delhi antara 2022 dan 2024 ketika ibu kota India itu bergelut dengan peningkatan tahap pencemaran, menurut kenyataan kerajaan Persekutuan.
Kerajaan memaklumkan di Parlimen, lebih 30,000 pesakit dengan penyakit pernafasan terpaksa dimasukkan ke hospital sepanjang tempoh tiga tahun tersebut.
Udara toksik merupakan masalah berulang di bandar itu dan kawasan pinggirannya, terutama ketika musim sejuk.
Sejak beberapa minggu lalu, Indeks Kualiti Udara (AQI) New Delhi yang mengukur pelbagai jenis pencemar termasuk PM2.5, zarah halus yang boleh menyumbat paru-paru, mencatat bacaan lebih 20 kali ganda daripada had yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Tiada punca tunggal yang menjelaskan masalah ini, namun ia dikaitkan dengan gabungan beberapa faktor seperti pelepasan industri, asap kenderaan, penurunan suhu, kelajuan angin yang rendah serta pembakaran sisa tanaman secara bermusim di negeri-negeri bersebelahan.
Enam hospital utama New Delhi merekodkan 67,054 kes penyakit pernafasan akut pada 2022, 69,293 kes pada 2023 dan 68,411 kes pada 2024.
“Analisis menunjukkan peningkatan tahap pencemaran berkait dengan peningkatan jumlah pesakit yang hadir ke unit kecemasan. Namun, reka bentuk kajian ini tidak dapat mengesahkan sama ada hubungan itu bersifat langsung,” kata kerajaan kepada Parlimen.
Purata AQI di New Delhi melepasi paras bacan teruk 400 beberapa kali sepanjang dekad lalu, terutamanya pada musim sejuk, tahap yang boleh memudaratkan orang sihat dan membawa risiko serius kepada individu dengan penyakit sedia ada.
Pada pagi Rabu, purata AQI bandar itu adalah sekitar 380, menurut aplikasi Safar yang disokong kerajaan.
BBC melaporkan minggu lalu, banyak hospital di New Delhi dan kawasan pinggirannya menyaksikan kemasukan kanak-kanak yang jatuh sakit akibat udara toksik.
Mahkamah Tinggi New Delhi dijadualkan mendengar satu petisyen pada Rabu yang menuntut tindakan segera untuk membendung pencemaran udara berbahaya.
Sejak beberapa tahun lalu, Mahkamah Agung India turut menyuarakan kebimbangan mengenai kualiti udara di bandar berkenaan dan kawasan sekitarnya.










