Netanyahu mohon pengampunan dalam perbicaraan rasuah - Utusan Malaysia

Netanyahu mohon pengampunan dalam perbicaraan rasuah

BENJAMIN NETANYAHU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Ahad memohon pengampunan daripada presiden negara itu berhubung perbicaraan rasuah yang dihadapinya sejak bertahun-tahun, dengan alasan proses undang-undang tersebut menghalang kemampuannya untuk mentadbir dan pengampunan itu adalah demi kebaikan Israel.

Netanyahu, perdana menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah Israel, berulang kali menafikan tuduhan rasuah, penipuan dan pecah amanah.

Menurut surat dihantar peguamnya kepada pejabat presiden, beliau masih yakin prosiding undang-undang tersebut akhirnya akan membawa kepada pembebasan sepenuhnya.

“Peguam saya menghantar permohonan pengampunan kepada presiden hari ini. Saya menjangkakan sesiapa yang mahukan kebaikan negara akan menyokong langkah ini,” kata Netanyahu dalam kenyataan video ringkas dikeluarkan parti Likud.

Pejabat Presiden Isaac Herzog mengesahkan telah menerima permohonan itu, sambil turut menerbitkan salinan surat tersebut.

Permohonan berkenaan akan diserahkan kepada Kementerian Kehakiman untuk mendapatkan pandangan, sebelum dikemukakan kepada penasihat undang-undang presiden bagi merangka syor kepada Herzog.

Menteri Kehakiman Israel, Yariv Levin, merupakan anggota parti Likud dan sekutu rapat Netanyahu.

Dalam surat permohonan itu, peguam Netanyahu berhujah bahawa prosiding jenayah terhadap beliau telah memperdalam perpecahan masyarakat, dan menamatkan perbicaraan tersebut adalah penting demi rekonsiliasi nasional.

Mereka turut menegaskan sesi perbicaraan yang semakin kerap membebankan ketika perdana menteri sedang cuba mentadbir negara.

“Saya dikehendaki memberi keterangan tiga kali seminggu. Itu satu tuntutan mustahil yang tidak dikenakan kepada mana-mana warga lain,” kata Netanyahu dalam kenyataan videonya, sambil menegaskan bahawa beliau telah menerima mandat rakyat selepas berulang kali memenangi pilihan raya.

Netanyahu dan peguamnya tidak membuat sebarang pengakuan bersalah. Lazimnya, pengampunan di Israel hanya diberikan selepas proses undang-undang selesai dan tertuduh disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, peguam Netanyahu berhujah presiden boleh campur tangan apabila kepentingan awam terlibat, termasuk bagi meredakan perpecahan dan mengukuhkan perpaduan negara.

Ketua pembangkang, Yair Lapid, dalam kenyataan menegaskan bahawa Netanyahu tidak seharusnya diberi pengampunan tanpa pengakuan bersalah, ungkapan penyesalan dan persaraan segera daripada arena politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN