KAHERAH: Muzium Besar Mesir memulakan kerja-kerja pemulihan perahu solar purba milik Raja Khufu secara langsung dan terbuka kepada pengunjung, sekali gus ‘menghidupkan’ kembali warisan tamadun firaun itu selepas lebih 4,000 tahun ia dibina.
Kerja-kerja pemulihan itu dimulakan Selasa lalu apabila konservator Mesir menggunakan sebuah kren kecil untuk mengangkat dengan berhati-hati sekeping papan kayu yang sudah rapuh dan mereput daripada lebih 1,650 komponen yang membentuk perahu tersebut ke dalam Dewan Muzium Perahu Solar.
Perahu berusia kira-kira 4,600 tahun itu dibina pada zaman pemerintahan Raja Khufu, firaun yang turut memerintahkan pembinaan Piramid Agung Giza.
Perahu tersebut ditemui pada tahun 1954 di dalam sebuah lubang tertutup berhampiran piramid, namun proses penggaliannya hanya bermula pada 2011 berikutan keadaan kayu yang amat rapuh.
“Apabila anda menyaksikan proses ini hari ini, anda sebenarnya sedang melihat satu projek pemulihan paling penting pada abad ke-21.
“Projek ini penting bukan sahaja untuk muzium, tetapi juga untuk kemanusiaan, sejarah dan warisan dunia,” kata Menteri Pelancongan Mesir, Sherif Fathy kepada pemberita.
Projek pemulihan itu akan dijalankan sepenuhnya di hadapan pengunjung Muzium Besar Mesir sepanjang tempoh empat tahun akan datang.
Ia dibiayai melalui geran bernilai AS$3.5 juta (RM14.2 juta) daripada Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan turut melibatkan ahli arkeologi Jepun yang bekerjasama rapat dengan pakar Mesir.
Ketua Projek Konservasi muzium, Eissa Zidan berkata, papan kayu perahu tersebut mengalami degradasi haba dan berada dalam keadaan sangat lemah.
Jelasnya, pakar Mesir dan Jepun merawat papan dan dayung perahu itu menggunakan bahan organik, termasuk nano-selulosa dan Klucel E yang mematuhi piawaian pemulihan antarabangsa.
Muzium berkenaan turut menempatkan sebuah lagi perahu solar dari era yang sama, yang ditemui dalam keadaan arkeologi jauh lebih baik dan sebelum ini dipamerkan berhampiran Piramid Giza.
Sejak dibuka pada awal November, Muzium Besar Mesir menerima purata 15,000 pengunjung setiap hari, malah ada hari tertentu mencatat kehadiran sehingga 27,000 orang.-AFP










