Meta sasar seragamkan pengesahan umur pengguna di semua platform - Utusan Malaysia

Meta sasar seragamkan pengesahan umur pengguna di semua platform

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Syarikat teknologi gergasi Amerika Syarikat, Meta Platforms Inc. menyasarkan pelaksanaan sistem sejagat bagi mengesahkan umur pengguna di semua platformnya susulan penguatkuasaan undang-undang berkaitan keselamatan dalam talian di peringkat global.

Ketua Keselamatan Global Meta, Antigone Davis berkata, langkah itu diambil berikutan wujudnya pelbagai sistem jaminan umur di setiap negara yang perlu dipatuhi oleh syarikat teknologi.

“Ketika ini pasaran mempunyai pelbagai variasi sistem. Justeru, kami cuba mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh,” katanya seperti dilaporkan Financial Times.

Sehubungan itu, Meta menjalin kerjasama dengan firma teknologi berpangkalan di Singapura, K-ID, bagi menyepadukan teknologi AgeKey ke dalam aplikasi mudah alihnya, dengan pelancaran dirancang di kebanyakan negara bermula tahun hadapan.

Teknologi AgeKey berfungsi hampir sama seperti sistem passkey yang menggunakan pengecaman wajah atau imbasan cap jari sedia ada pada peranti pintar sebagai alternatif log masuk tanpa kata laluan.

Meta ketika ini menggunakan gabungan teknologi pengesahan umur dalaman serta perkhidmatan pihak ketiga, termasuk platform pengenalan Yoti dari United Kingdom, bagi mematuhi Akta Keselamatan Dalam Talian UK dan undang-undang yang melarang penggunaan media sosial oleh kanak-kanak bawah 16 tahun.

Menurut Davis, pelaksanaan AgeKey secara meluas dijangka mewujudkan keseragaman dalam proses pengesahan umur merentasi pelbagai aplikasi, sekali gus meningkatkan perlindungan terhadap pengguna muda.

Meta sebelum ini menjenamakan semula Facebook kepada Meta pada 2021, dengan pengasasnya Mark Zuckerberg menegaskan fokus baharu syarikat itu terhadap pembangunan metaverse dan pengalaman realiti maya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN