MALE: Seorang pelancong wanita dari China cedera dalam insiden serangan jerung yang mengerikan selepas memasuki laut ketika mengalami haid.
Mangsa berusia 26 tahun itu mengikuti kursus selaman skuba di Maldives awal bulan ini apabila kejadian tersebut berlaku.
Menurut Oriental Daily News, wanita tersebut pada mulanya mahu mendapatkan gambar menarik untuk dimuat naik ke Instagram. Dia membuat carian dalam talian dan mendapatkan pandangan profesional mengenai keselamatan menyelam ketika haid dan dimaklumkan ia tidak berbahaya.
Dengan menggunakan tampon, dia turun ke dalam air sebelum tragedi berlaku.
Ketika berenang, dia ternampak sekumpulan jerung dan mengejar haiwan itu untuk ‘bermain’ namun tindakan itu menyebabkan jerung menyerangnya, meninggalkan kesan gigitan dalam pada pergelangan tangannya.
Namun wanita itu tetap enggan naik ke darat selepas serangan kerana masih mahu mendapatkan gambar menarik..
Dia turut juga tidak berpuas hati kerana diminta keluar dari air dan sempat mengkritik pemandu pelancong sebelum lukanya dirawat dan dibalut.
Selepas kejadian, wanita itu merakam video menunjukkan kecederaannya kepada rakan-rakan.
Wanita itu dalam satu wawancara memberitahu dia tidak rasa terlalu sakit ketika digigit jerung menyebabkan dia tidak panik.
“Kerana saya boleh menilai sendiri. Jika jerung itu menggigit saluran darah, arteri utama, atau tulang saya dan jika sendi saya tidak boleh bergerak, sudah tentu saya akan panik,” katanya.
Menurut Florida Museum of Natural History, tiada bukti positif haid menjadi faktor kepada serangan jerung.
“Bukti menunjukkan tekanan air ketika berenang boleh menghentikan sementara aliran darah haid, sekali gus mengurangkan kemungkinan darah dilepaskan ke dalam air,” katanya. – AGENSI










