ACEH BARAT: Bencana banjir yang melanda daerah Aceh Barat, Indonesia, baru-baru ini membawa rezeki tidak disangka apabila sejumlah penduduk mendakwa menemui butiran emas di kawasan terjejas di Gampong Seuradeuk, Woyla Timur, Jumaat lalu.
Penemuan itu berlaku ketika penduduk bergotong-royong membersihkan kediaman masing-masing yang dipenuhi lumpur akibat limpahan air.
Keadaan bertukar meriah apabila mereka mula menggunakan peralatan seadanya untuk mendulang logam berharga berkenaan.
Rakaman keterujaan penduduk ketika mendulang emas turut tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial
Pensyarah dan penyelidik Sumber Daya Mineral, Jabatan Kejuruteraan Geologi, Universiti Gadjah Mada (UGM), Lucas Donny Setijadji berkata, wilayah Aceh sememangnya dikenal pasti mempunyai sumber mineral, khususnya emas.
“Banyak wilayah di negara kita mempunyai sumber mineral, terutamanya emas,” katanya.
Katanya, fenomena tersebut berlaku kerana butiran emas merupakan logam yang tahan lasak serta mampu bertahan daripada proses hakisan.
Beliau berkata, pergerakan tanah akibat banjir menyebabkan butiran emas yang berketumpatan tinggi kekal berhampiran sumber batuan asal, sekali gus memudahkan ia ditemui di kawasan terjejas.










