CATANIA: Seorang lelaki berstatus suami di Sicily memfailkan saman terhadap sebuah restoran selepas video dia menikmati makan malam bersama kekasihnya dimuat naik ke TikTok, sekali gus membongkar hubungan sulit yang disembunyikan daripada isterinya.
Dalam kejadian itu, lelaki berusia 42 tahun berkenaan memberitahu isterinya dia menghadiri makan malam urusan kerja, namun sebenarnya keluar berjanji temu dengan wanita lain di sebuah restoran di Catania.
Wajahnya jelas kelihatan dalam video promosi yang dirakam pihak restoran.
Video tersebut kemudiannya ditonton oleh isterinya yang kemudiannya meninggalkan lelaki itu selepas mengetahui kecurangan tersebut.
Susulan kejadian itu, kumpulan hak pengguna Itali, Codacons bertindak mewakili lelaki tersebut menuntut ganti rugi dan mengancam membawa kes berkenaan kepada badan pemantau privasi negara dengan alasan rakaman dibuat tanpa kebenaran.
Wakil Codacons, Francesco Tanasi berkata, tindakan restoran merakam pelanggan tanpa persetujuan jelas melanggar peraturan privasi, selain mendedahkan individu terlibat kepada kesan buruk yang tidak dapat dijangka terhadap kehidupan peribadi dan keluarga.
Kes ini mengimbau kembali insiden tular sebelum ini apabila seorang ketua eksekutif yang sudah berkahwin dirakam bermesra dengan eksekutif sumber manusia semasa konsert Coldplay, mencetuskan kecaman awam dan kesan besar terhadap kehidupan peribadi mereka selepas video tersebut tersebar luas.










