WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yakin ketegangan antara Thailand dan Kemboja kini berada pada tahap terkawal susulan perbualan telefon beliau dengan pemimpin kedua-dua negara Asia Tenggara itu.
Trump berkata, keadaan yang sebelum ini tegang kini menunjukkan perkembangan positif hasil campur tangan diplomatik AS dalam usaha meredakan konflik berpanjangan di sepanjang sempadan yang dipertikaikan.
“Saya rasa kami telah melakukan tugas yang sangat baik. Keadaannya tidak baik sebelum ini, namun hari ini saya percaya ia telah berjaya diselesaikan. Thailand dan Kemboja kini berada dalam keadaan yang baik,” katanya kepada media di Rumah Putih.
Menurut beliau, perbualan tersebut melibatkan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dengan fokus utama menggesa kedua-dua pihak menghentikan pertempuran yang tercetus semula baru-baru ini.
Trump turut memaklumkan Thailand dan Kemboja bersetuju memperbaharui perjanjian gencatan senjata yang sebelum ini dimeterai dengan bantuan AS pada awal tahun ini.
Bagaimanapun, perkembangan di lapangan menunjukkan situasi masih rapuh apabila pihak berkuasa Thailand mengesahkan operasi ketenteraan termasuk serangan udara dan artileri masih dilancarkan ke atas kedudukan tentera Kemboja di beberapa kawasan sempadan.
Konflik terbaharu yang meletus bulan ini dilaporkan menyebabkan lebih 500,000 penduduk terpaksa dipindahkan, selain kemusnahan besar terhadap kampung-kampung dan kemudahan awam di kedua-dua negara.
Pertikaian berkenaan berpunca daripada sempadan sepanjang kira-kira 800 kilometer yang diwarisi sejak era penjajahan dan masih belum dimuktamadkan, dengan penganalisis memberi amaran bahawa penyelesaian jangka panjang memerlukan komitmen politik berterusan serta sokongan masyarakat antarabangsa.
Setakat ini, Bangkok dan Phnom Penh belum mengeluarkan pengesahan rasmi berhubung butiran gencatan senjata baharu itu, namun kedua-dua pihak menyatakan kesediaan untuk meneruskan rundingan bagi mengelakkan konflik berlarutan.










