Ketua Daerah Aceh dipecat selepas tunai umrah semasa banjir besar - Utusan Malaysia

Ketua Daerah Aceh dipecat selepas tunai umrah semasa banjir besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Ketua Daerah Aceh Selatan, Mirwan, dipecat daripada jawatan Ketua Gerindra wilayah itu dan bakal berdepan siasatan Kementerian Dalam Negeri selepas beliau meninggalkan daerahnya yang dilanda bencana besar untuk menunaikan umrah di Arab Saudi.

Menurut jurucakap kementerian, Benni Irwan, Mirwan dijadual pulang pada Ahad dan akan dipanggil memberi keterangan oleh Inspektorat kementerian berkenaan.

“Beliau mengaku tidak mendapat kebenaran daripada gabenor mahupun Menteri Dalam Negeri sebelum berangkat menunaikan umrah,” kata Benni dalam satu kenyataan.

Mirwan bertolak ke Arab Saudi pada 2 Disember ketika Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara berada dalam status darurat berikutan banjir besar dan tanah runtuh yang meragut lebih 900 nyawa, dengan ratusan lagi masih hilang dan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan.

Tindakannya itu mencetuskan kemarahan kerana sebelum berangkat, Mirwan sendiri mengakui tahap bencana tersebut sudah melampaui keupayaan pemerintah daerah untuk menanganinya.

“Kami amat kesal apabila mengetahui melalui media Ketua daerah Aceh Selatan menunaikan umrah sedangkan daerahnya ditimpa bencana.

“Kehadiran seorang pemimpin daerah amat penting ketika rakyat berdepan kehancuran dan kekangan respons kecemasan,” kata Benni.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung Gerindra yang juga Menteri Luar Negeri Indonesia, Sugiono, mengesahkan Mirwan telah digugurkan daripada jawatan ketua parti itu di Aceh Selatan selepas menerima laporan mengenai kelakuan serta kepimpinannya sepanjang bencana.

Gabenor Aceh, Muzakir Manaf, turut memaklumkan beliau tidak pernah memberi kebenaran kepada Mirwan untuk meninggalkan daerah berkenaan ketika tempoh darurat masih berkuat kuasa.

Mirwan mengangkat sumpah sebagai Ketua Daerah Aceh Selatan pada 17 Februari 2025.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN