AmanahRaya dilantik jadi pemegang amanah wang ganti rugi Pastor Koh - Utusan Malaysia

AmanahRaya dilantik jadi pemegang amanah wang ganti rugi Pastor Koh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan pemegang amanah, Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) dilantik sebagai `penjaga’ akaun yang mana ganti rugi melebihi RM31 juta akan didepositkan sehingga keberadaan Paderi Raymond Koh dikenal pasti atau didedahkan.

Perintah itu dibuat oleh Hakim, Datuk Su Tiang Joo pada prosiding di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Peguam, Datuk Jerald Gomez yang mewakili Susanna Liew, 69, iaitu isteri kepada Koh (yang memfailkan saman atas kapasiti peribadi dan litigasi mewakili suaminya) ketika ditemui media berkata, mahkamah membuat perintah itu selepas kedua-dua belah pihak bersetuju wang ganti rugi berkenaan dimasukkan dalam akaun AmanahRaya.

Gomez menjelaskan, AmanahRaya dilantik sebagai pemegang amanah bagi plaintif pertama (Koh) untuk memegang wang dan faedah sehingga keberadaan beliau dapat dipastikan atau didedahkan.

Menurut peguam itu, AmanahRaya dilantik berikutan ia mengenakan caj yang rendah selain ada jaminan hitam putih untuk memulangkan semula wang kepada kerajaan jika keputusan Mahkamah Tinggi diubah oleh mahkamah lebih tinggi pada peringkat rayuan.

Selain itu, Gomez memberitahu, sehingga kini, kerajaan masih belum membayar ganti rugi terbabit walaupun tiada sebarang permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan mahkamah itu.

Pada prosiding hari ini, plaintif turut diwakili peguam Michelle Wong.

Pada awal Disember lalu, Susabba memohon mahkamah melantik firma guaman, Tetuan Jerald Gomez & Associates sebagai pemegang amanah akaun ganti rugi tersebut.

Wanita itu turut menamakan dua lagi institusi sebagai pemegang amanah alternatif iaitu PB Trustee Services dan Amanah Raya Berhad sekiranya mahkamah tidak menerima firma guaman sebagai pemegang amanah.

Melalui afidavit sokongannya, Susanna berkata, mahkamah dalam keputusannya memberi arahan, antara lain, bahawa ganti rugi yang diputuskan terhadap defendan hendaklah didepositkan dalam akaun amanah yang menjana faedah dan dipegang atas amanah oleh individu atau institusi.

Pada 5 November lalu, Hakim Tiang Joo memerintahkan kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membayar ganti rugi RM10,000 sehari kepada keluarga Koh bermula dari tarikh beliau diculik (13 Februari 2017) sehingga pihak berkuasa mendedahkan keberadaannya.

Selain bayaran itu, yang setakat ini mencecah RM32.1 juta, mereka juga perlu membayar ganti rugi teruk (RM1 juta) dan ganti rugi teladan (RM1 juta) .

Tiang Joo membuat keputusan itu selepas membenarkan saman Susanna dan memutuskan bahawa kerajaan serta polis bertanggungjawab di atas kehilangan lelaki itu.

Mahkamah memerintahkan ganti rugi itu hendaklah dimasukkan ke dalam satu akaun amanah yang menjana faedah, yang dipegang oleh pemegang amanah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN