PHNOM PENH: Kemboja mendakwa Thailand buat pertama kali melancarkan serangan jauh ke dalam wilayahnya pada Isnin, dengan mengebom kawasan yang menempatkan kuil Angkor berusia ratusan tahun, tarikan pelancongan utama negara itu susulan konflik sempadan yang kembali memuncak.
Pertempuran selama lima hari pada Julai lalu mengorbankan puluhan nyawa sebelum satu gencatan senjata dicapai, namun ia kemudian dilanggar dalam tempoh beberapa bulan.
Konflik berpanjangan ini berpunca daripada penandaan sempadan era kolonial sepanjang kira-kira 800 kilometer (km) antara kedua-dua negara.
Pertempuran baharu antara dua negara Asia Tenggara itu pada Disember mengorbankan sekurang-kurangnya 31 orang, termasuk anggota tentera dan orang awam, serta menyebabkan kira-kira 800,000 penduduk dipindahkan, menurut pihak berkuasa.
Kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain kerana mencetuskan pertempuran, masing-masing mendakwa bertindak untuk mempertahankan diri sambil menuduh pihak lawan menyerang orang awam.
Kemboja, yang memiliki kekuatan ketenteraan dan perbelanjaan pertahanan lebih kecil berkata, pasukan Thailand memperluaskan serangan mereka jauh ke dalam wilayahnya pada Isnin.
Kementerian Pertahanan Kemboja dalam satu kenyataan berkata, sebuah jet pejuang Thailand mengebom kawasan berhampiran sebuah kem penempatan orang awam yang dipindahkan di daerah Srei Snam, wilayah Siem Reap.
Kawasan itu terletak kurang daripada dua jam perjalanan dari kompleks kuil Angkor, tarikan pelancongan utama negara itu, termasuk tapak warisan dunia UNESCO, Angkor Wat.
Menteri Penerangan Kemboja, Neth Pheaktra, memberitahu AFP, serangan itu merupakan wilayah Kemboja yang paling jauh dimasuki pasukan tentera Thailand sepanjang pertempuran terbaharu, iaitu lebih 70km dari sempadan dan jauh dari kawasan pertikaian.
Beliau berkata, ini juga merupakan kali pertama tentera Thailand mengebom kawasan di wilayah Siem Reap.
Menurutnya lagi, pengeboman itu memaksa ratusan keluarga yang sudah pun dipindahkan untuk melarikan diri dari pusat pemindahan. -AGENSI/AFP










