YANGON: Keganasan, penindasan dan ugutan semakin meningkat di Myanmar menjelang pilihan raya dikawal tentera yang dijadualkan pada 28 Disember ini, dengan orang awam diancam sama ada oleh pihak berkuasa mahupun kumpulan bersenjata yang menentang tentera.
Menurut Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk dalam kenyataannya menyeru agar amalan paksaan berkaitan pilihan raya dihentikan segera.
“Pihak berkuasa tentera di Myanmar mesti menghentikan keganasan kejam untuk memaksa orang ramai mengundi dan menghentikan penangkapan terhadap mereka yang menyuarakan pandangan berbeza,” katanya.
Menurut pejabat itu, puluhan orang ditahan di bawah undang-undang perlindungan pilihan raya kerana menggunakan hak kebebasan bersuara.
Beberapa orang menerima hukuman berat, termasuk tiga remaja di Hlaingthaya, Wilayah Yangon yang dipenjara antara 42 hingga 49 tahun kerana menggantung poster anti-pilihan raya.
Tokoh terkenal turut ditahan, menurut pejabat itu, termasuk Pengarah Filem Mike Tee, pelakon Kyaw Win Htut dan pelawak, Ohn Daing yang masing-masing dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara kerana mengurangkan kepercayaan awam selepas mengkritik filem propaganda pro-pilihan raya.
Pejabat itu juga menerima laporan daripada penduduk yang dipindahkan di dalam negara di beberapa kawasan, termasuk Wilayah Mandalay yang diancam akan diserang atau rumah mereka dirampas jika tidak pulang untuk mengundi.
“Seorang sumber memberitahu pejabat hak asasi, mereka menggertak penduduk yang dipindahkan supaya kembali ke bandar untuk mengundi. Jika tidak kembali, mereka akan terus meletupkan rumah penduduk.
“Memaksa orang yang dipindahkan untuk kembali ke kawasan tidak selamat secara paksa adalah pelanggaran hak asasi manusia,” kata Turk.
Kumpulan bersenjata yang menentang tentera juga mengeluarkan ancaman. Pada November, guru-guru diculik dan pejabat pilihan raya di Yangon dibom, mengakibatkan beberapa kakitangan pilihan raya cedera, menurut laporan.
“Pilihan raya ini jelas berlangsung dalam suasana keganasan dan penindasan. Tiada syarat yang membolehkan kebebasan bersuara, berkumpulan atau berhimpun secara aman yang membenarkan rakyat menyertainya secara bebas dan bermakna,” jelasnya.-AGENSI











