Kad emas Trump mula dijual, tawar status dan kerakyatan AS

Kad emas Trump mula dijual, tawar status dan kerakyatan AS

KAD emas Donald Trump dipamerkan di Pejabat Oval, Rumah Putih di Washington.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melancarkan program ‘kad emas’ yang menawarkan status sah dan laluan kewarganegaraan kepada individu dengan harga AS$1 juta (RM4.1 juta).

Syarikat pula perlu membayar dua kali ganda jumlah itu bagi setiap pekerja asing mereka.

Program baharu ini menggantikan visa EB-5 yang diwujudkan Kongres pada 1990 untuk menjana pelaburan asing, yang sebelum ini membolehkan individu melabur sekitar AS$1 juta (RM4.1 juta) dalam syarikat yang menggaji sekurang-kurangnya 10 pekerja.

Trump melihat versi baharu itu sebagai cara untuk menarik dan mengekalkan bakat terbaik, sambil menjana hasil kepada kerajaan persekutuan.

“Semua dana yang dikutip akan disalurkan kepada kerajaan AS dan saya meramalkan menerima berbilion dolar dalam akaun yang diuruskan Jabatan Perbendaharaan bagi membolehkan kita melakukan perkara yang positif untuk negara.

“Pada dasarnya ia adalah kad hijau, tetapi jauh lebih baik. Jauh lebih berkuasa dengan laluan yang lebih kukuh. Syarikat-syarikat pasti akan gembira,” katanya.

Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick berkata, program itu akan mengenakan yuran AS$15,000 (RM61,610) bagi proses tapisan, dengan pemeriksaan latar belakang yang ketat untuk memastikan hanya individu yang benar-benar layak dibenarkan memasuki AS.

Syarikat boleh memperoleh berbilang kad tetapi terhad kepada seorang penerima bagi setiap kad.

Menurut Lutnick, pemegang kad hijau sedia ada memperoleh pendapatan lebih rendah berbanding purata rakyat AS dan Trump mahu mengubah keadaan itu.

“Jadi, visa yang sama, tetapi kini dipenuhi individu paling berkualiti,” katanya.

Trump berkata, program itu memastikan AS berjaya menarik individu yang hebat memasuki negara itu, malah menyebut graduan terbaik universiti AS dari China, India dan Perancis antara yang berpotensi menerima kad emas tersebut.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN