Jimmy Lai disabit kesalahan, bakal berdepan hukuman penjara seumur hidup

Jimmy Lai disabit kesalahan, bakal berdepan hukuman penjara seumur hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: Taikun media pro-demokrasi Hong Kong, Jimmy Lai pada Isnin didapati bersalah atas tiga pertuduhan di bawah undang-undang keselamatan negara, satu keputusan yang dikecam kumpulan hak asasi sebagai pengakhiran kebebasan media di hab kewangan China itu.

Pendakwa raya berkata, Lai merupakan dalang di sebalik dua konspirasi untuk meminta negara asing mengambil tindakan terhadap Hong Kong atau China, selain menuduhnya menerbitkan bahan yang didakwa menghasut ketidakpuasan terhadap kerajaan.

Lai, 78, yang mengaku tidak bersalah, kini berdepan hukuman maksimum penjara seumur hidup apabila dijatuhi hukuman kelak. Beliau boleh mengemukakan rayuan terhadap sabitan pada Isnin itu.

“Tidak dapat dinafikan Lai menyimpan rasa dendam dan kebencian terhadap RRC sepanjang sebahagian besar kehidupan dewasanya,” kata Hakim, Esther Toh kepada mahkamah, merujuk kepada Republik Rakyat China.

“Undangan berterusannya kepada Amerika Syarikat (AS) untuk membantu menjatuhkan Kerajaan RRC atas alasan membantu rakyat Hong Kong adalah seumpama seorang warganegara AS meminta bantuan Russia untuk menjatuhkan kerajaan AS atas alasan membantu Negeri California,” katanya.

Lai, yang mengenakan kardigan hijau muda dan jaket kelabu, kelihatan tenang dengan tangan bersilang ketika mendengar keputusan mahkamah dan tidak berkata apa-apa.

Ketika meninggalkan mahkamah, beliau mengangguk ke arah isterinya, Teresa dan anak lelakinya, Lai Shun-yan yang duduk di galeri awam, menurut pemerhatian wartawan AFP.

Peguam bela beliau, Robert Pang berkata kepada pemberita, Lai berada dalam keadaan semangat yang baik.

Puluhan anggota polis ditempatkan di sekitar Mahkamah Kowloon Barat pada pagi ini, dengan sebuah kenderaan perisai diletakkan berhampiran.

Wakil konsulat, termasuk dari AS, Kesatuan Eropah EU) dan Perancis hadir menyaksikan prosiding, bersama tokoh veteran kem pro-demokrasi Hong Kong seperti Kardinal Joseph Zen dan bekas anggota legislatif, Emily Lau.

Pengasas akhbar Apple Daily yang kini ditutup itu ditahan sejak 2020.

Kes beliau dikritik secara meluas sebagai contoh kemerosotan kebebasan politik di bawah undang-undang keselamatan negara yang dikenakan Beijing ke atas Hong Kong selepas protes pro-demokrasi besar-besaran pada 2019.

“Keterjangkaan keputusan hari ini tidak mengurangkan kekecewaan, sabitan terhadap Lai terasa seperti loceng kematian bagi kebebasan media di Hong Kong,” kata Amnesty International dalam satu kenyataan.

Reporters Without Borders menyifatkan sabitan yang menyalahi undang-undang itu sebagai gambaran kemerosotan membimbangkan kebebasan media di wilayah tersebut, manakala Committee to Protect Journalists menggelarnya sabitan palsu dan tindakan penganiayaan yang memalukan.

Beijing pula pada Jumaat menyatakan ia menyokong sepenuhnya Hong Kong dalam melindungi keselamatan negara daripada perbuatan jenayah.

Lai pernah menggambarkan dirinya sebagai ‘pemberontak sejak lahir’ dan selama bertahun-tahun mencabar Parti Komunis China sambil mengumpul kekayaan daripada empayar pakaian dan medianya.

Lai adalah warganegara Britain, dan Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer, kini berdepan tekanan daripada kumpulan hak asasi untuk mendapatkan pembebasannya.

Lai kelihatan lebih kurus berbanding ketika mula ditahan dan sebahagian penyokong yang berkumpul sejak awal pagi di luar mahkamah menyuarakan kebimbangan terhadap keadaannya.

Keluarga Lai baru-baru ini memaklumkan beliau kehilangan berat badan serta menunjukkan kemerosotan pada kuku dan giginya sepanjang tempoh pemenjaraan.

Pendakwa turut menuduh Lai sebagai dalang dan penyumbang kewangan kepada kumpulan protes Stand with Hong Kong, Fight for Freedom.

Apple Daily diarah tutup pada 2021 selepas beberapa serbuan polis. Enam eksekutif tertinggi akhbar itu didakwa sebagai rakan tertuduh dan telah mengaku bersalah.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×