Jenama terkenal bantu migran sertai industri fesyen 

Jenama terkenal bantu migran sertai industri fesyen 

TUKANG jahit migran menyiapkan sehelai baju-T untuk dijual di kedai Top Manta di daerah Raval di Barcelona, Sepanyol.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARCELONA: Sebuah jenama fesyen di Barcelona membuka peluang kepada migran bekas penjaja jalanan untuk menyertai industri fesyen secara sah.

Di studio Top Manta yang diterangi cahaya matahari, para model memperagakan pakaian yang dijahit dan dicetak oleh pendatang asing yang sebelum ini menjual barangan tiruan di kawasan jalanan di Barcelona. 

Koleksi kapsul 10 rekaan berkonsepkan kitar semula itu dihasilkan oleh kira-kira 12 pekerja di koperasi Top Manta, di bawah rekaan kreatif pereka eksperimental terkenal, Tania Marcial.

Penjahit warga Senegal, Djibi Gabigag, 28, yang tiba di Barcelona sebagai migran tanpa dokumen berkata, menyertai Top Manta memberinya tujuan hidup. 

“Sebelum ini, saya tiada pendidikan formal dan hanya menjual barangan. Kini saya berasa normal, bergaya dan gembira.

“Pengalaman itu mengubah hidup saya. Apabila saya memakai Top Manta, saya rasa diterima dan bahagia. Ia jenama seperti jenama lain,” katanya.

Top Manta ditubuhkan oleh Lamine Sarr dan Aziz Faye, kedua-duanya bekas penjaja jalanan dari Senegal. 

Koperasi itu bermula daripada kesatuan penjaja jalanan selepas seorang pendatang asing maut dalam serbuan polis pada 2015. Kini, lebih 200 individu dibantu meninggalkan perniagaan jalanan dan memohon pemastautin sah di Sepanyol.

Menurut badan kebajikan Katolik, Caritas, kira-kira 700,000 pendatang asing di Sepanyol masih hidup dalam ketidaktentuan undang-undang, tidak dapat bekerja secara rasmi atau mengumpul dokumen untuk mendapatkan status pemastautin. Situasi itu memaksa ramai bergantung kepada pekerjaan pasaran gelap.

Lapor Reuters, pakaian keluaran Top Manta membawa mesej sosial, termasuk slogan seperti ‘Migrasi bukan jenayah’ dan ‘Pakaian sah, manusia tidak sah’ sebagai simbol perjuangan migran untuk diterima dalam kehidupan penduduk setempat.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×