BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah akan meneruskan rancangan kontroversi mengumpulkan dana bagi membiayai pasukan pertahanan Ukraine berjumlah 90 bilion euro (RM432.21 bilion) menggunakan aset Russia yang dibekukan atau pembiayaan melalui pinjaman antarabangsa.
Pengumuman oleh badan eksekutif Kesatuan Eropah (EU) itu membentangkan dua penyelesaian bagi memenuhi keperluan pembiayaan Ukraine untuk tahun 2026 dan 2027.
Cadangan pertama ialah pinjaman EU kepada Kyiv melalui pasaran kewangan swasta, manakala yang kedua dan menjadi pilihan utama ialah pinjaman ganti rugi perang yang dibiayai menggunakan aset negara Russia yang dibekukan di EU selepas pencerobohan Moscow ke atas Ukraine pada 2022.
“Kedua-dua pilihan ini mencerminkan komitmen EU untuk menyokong Ukraine bukan sahaja dalam mempertahankan kedaulatannya dan mengekalkan fungsi negara, tetapi juga sebagai pelaburan strategik demi keselamatan Eropah serta usaha mencapai keamanan yang adil dan berkekalan,” kata blok itu dalam satu kenyataan.
Presiden EC, Ursula von der Leyen berkata, cadangan itu akan memastikan Ukraine mempunyai keupayaan untuk mempertahankan diri serta memasuki rundingan damai dari posisi yang lebih kuat.
“Kami mencadangkan pembiayaan dua pertiga daripada keperluan Ukraine untuk dua tahun akan datang, iaitu 90 bilion euro. Bakinya akan ditanggung oleh rakan antarabangsa lain.
“Kami meningkatkan kos pencerobohan Russia dan ini seharusnya menjadi insentif tambahan untuk Moscow kembali ke meja rundingan,” katanya.
Beliau turut menyatakan cadangan baharu kepada negara anggota EU itu sudah mengambil kira hampir semua kebimbangan Belgium, di mana institusi kewangannya, Euroclear yang berpangkalan di Brussels merupakan pemegang utama aset Russia yang dibekukan.
Von der Leyen berkata, cadangan itu kini turut merangkumi institusi kewangan lain di EU yang memiliki aset Russia, sementara pegawai EU memaklumkan, Perancis, Jerman, Sweden dan Cyprus juga memegang aset yang akan digunakan dalam pembiayaan pinjaman tersebut.
EU boleh meneruskan cadangan penggunaan aset dibekukan itu jika 15 daripada 27 negara anggota mengundi menyokong. Suruhanjaya tersebut berharap untuk mendapatkan komitmen kukuh daripada negara anggota pada sidang kemuncak pemimpin EU pada 18 Disember ini.










