Coklat gelap berpotensi lambatkan proses penuaan

Coklat gelap berpotensi lambatkan proses penuaan

SEBATIAN kimia utama dalam coklat gelap berpotensi memperlahankan proses penuaan manusia. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Saintis mendapati sebatian kimia utama dalam coklat gelap berpotensi memperlahankan proses penuaan manusia.

Kajian terbaharu oleh penyelidik dari King’s College London mendapati koko, bahan utama dalam coklat gelap, mengandungi theobromine iaitu sebatian semula jadi tumbuhan yang dikaitkan dengan pengurangan usia biologi, ukuran tahap kerosakan sel dalam tubuh seseorang.

Usia biologi berbeza daripada usia sebenar kerana ia merujuk kepada tahap kemerosotan badan berdasarkan perubahan kimia pada DNA serta panjang telomer, iaitu struktur pelindung pada hujung kromosom yang semakin memendek seiring peningkatan usia.

Menurut kajian itu, individu yang mempunyai paras theobromine lebih tinggi dalam darah didapati memiliki usia biologi yang lebih rendah berbanding usia sebenar mereka, menunjukkan proses penuaan yang lebih perlahan.

Namun, penyelidik menegaskan kesan tersebut hanya dikaitkan dengan coklat yang mempunyai kandungan koko tinggi, memandangkan theobromine terdapat dalam jumlah kecil dalam coklat susu dan tidak wujud dalam coklat putih.

Pengarang kajian, Prof. Jordana Bell berkata, kajian itu tidak bertujuan menggalakkan pengambilan coklat secara berlebihan, sebaliknya membantu memahami bagaimana makanan harian mungkin memberi petunjuk kepada kehidupan yang lebih sihat dan panjang.

Kajian yang melibatkan lebih 1,600 peserta dari dua kohort di Eropah itu diterbitkan dalam jurnal Aging, dengan pakar menasihatkan orang ramai menikmati coklat gelap secara sederhana sebagai sebahagian daripada diet seimbang dan gaya hidup aktif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN