Bekas tahanan junta bertanding pilihan raya Myanmar, rebut kerusi Aung San Suu Kyi - Utusan Malaysia

Bekas tahanan junta bertanding pilihan raya Myanmar, rebut kerusi Aung San Suu Kyi

AUNG SAN SUU KYI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAWHMU: Seorang bekas tahanan junta tentera Myanmar, Kyaw Kyaw Htwe tampil sebagai calon pilihan raya parlimen dalam pilihan raya yang diuruskan tentera bermula Ahad ini.

Dia berhasrat merebut kerusi yang pernah disandang tokoh demokrasi negara itu, Aung San Suu Kyi.

Kyaw Kyaw Htwe, 60, yang pernah dipenjara selama kira-kira 15 tahun kerana aktivisme pro-demokrasi, menegaskan penyertaannya dalam pilihan raya itu bukan pengkhianatan prinsip, sebaliknya satu kompromi demi kestabilan negara yang terperangkap dalam konflik berpanjangan sejak rampasan kuasa tentera pada 2021.

Pilihan raya tersebut diadakan selepas tentera menggulingkan kerajaan pimpinan Suu Kyi dan membubarkan partinya, Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD), sekali gus mencetuskan perang saudara. Walaupun junta mendakwa undian itu langkah mengembalikan demokrasi, komuniti antarabangsa melihatnya sebagai usaha mengukuhkan semula pemerintahan tentera.

Di Kawhmu, kawasan luar bandar kira-kira dua jam perjalanan dari Yangon, kempen Kyaw Kyaw Htwe yang lebih dikenali dengan gelaran “Marky” berdepan sikap tidak peduli pengundi.

Ramai penduduk dilihat menjauhkan diri daripada politik sejak Suu Kyi ditahan, menyebabkan kempen lebih tertumpu kepada memulihkan keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya.

Isterinya, Su Su Nway, turut aktif berkempen dengan menggunakan imej dan legasi Suu Kyi bagi meraih sokongan, walaupun tindakan itu mengundang kritikan daripada penyokong tegar bekas pemimpin itu.

Anak Suu Kyi, Kim Aris, menyifatkan penyertaan dalam pilihan raya berkenaan sebagai menyimpang jauh daripada prinsip pilihan raya bebas dan adil.

Walaupun sedar parlimen baharu nanti masih dikuasai tentera dengan satu perempat kerusi diperuntukkan kepada pegawai tentera serta parti pro-junta dijangka mendominasi, Kyaw Kyaw Htwe tetap percaya penyertaan dalam pilihan raya adalah langkah awal ke arah masa depan lebih baik. “Jika kami tidak melakukannya, siapa lagi?” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×