Bateri dron meletup mungkin punca kebakaran ragut 22 nyawa di Jakarta - Utusan Malaysia

Bateri dron meletup mungkin punca kebakaran ragut 22 nyawa di Jakarta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 22 orang maut selepas sebuah bangunan pejabat tujuh tingkat di Kemayoran, Jakarta Pusat, musnah dalam kebakaran yang dipercayai tercetus akibat letupan bateri dron di tingkat bawah bangunan berkenaan.

Ketika kejadian, kebanyakan pekerja keluar makan tengah hari sebelum api pantas merebak ke tingkat atas.

Ketua Polis Jakarta Pusat, Susatyo Purnomo Condro berkata, letupan bateri dron itu dipercayai menjadi punca awal kejadian, namun pasukan makmal forensik masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar.

Beliau berkata, polis komited menyiasat sama ada wujud unsur kecuaian atau pihak lain yang bertanggungjawab.

Menurut pihak bomba, lebih 100 anggota bersama 29 jentera dikejarkan ke lokasi untuk memadamkan kebakaran yang mengambil masa kira-kira tiga jam sebelum dikawal sepenuhnya.

Pasukan penyelamat turut berdepan cabaran asap tebal dan haba tinggi ketika operasi.

Seramai 19 mangsa terselamat selepas memanjat ke bahagian bumbung bangunan untuk menyelamatkan diri.

Namun, 22 mangsa lain termasuk 15 wanita dengan seorang daripadanya hamil ditemui tidak bernyawa, dipercayai akibat sesak nafas berikutan terperangkap dalam asap tebal.

Seorang saksi, Nurhayati, 53, berkata api sudah marak ketika bomba memecah masuk ke bangunan yang digunakan sebagai pejabat jualan dan penyimpanan syarikat dron berkenaan.

Sementara itu, seorang mangsa terselamat, Dimitri, berkata kerosakan pada bateri dron menyebabkan letupan kecil sebelum api merebak ke seluruh tingkat.

Rakaman televisyen tempatan turut menunjukkan detik cemas operasi menyelamat pekerja yang terperangkap di tingkat enam menggunakan tangga kecemasan.

Beberapa mangsa sesak nafas ketika menunggu giliran untuk diturunkan satu persatu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Polis Jakarta Timur untuk proses pengecaman, manakala keluarga mangsa memenuhi kawasan hospital dan lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat terkini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN