JAKARTA: Penduduk semakin terdesak untuk mendapatkan makanan dan bekalan asas lain ketika angka korban akibat banjir dahsyat di Indonesia meningkat kepada 502 orang.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB) pada Ahad memaklumkan, seramai 508 lagi hilang di wilayah Sumatera Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Aceh.
Pihak berkuasa kini giat meneruskan usaha untuk sampai ke kawasan paling teruk terjejas di pulau Sumatera, dengan ribuan penduduk masih terkandas tanpa bekalan penting.
Banjir buruk yang melanda negara itu memaksa ribuan penduduk berpindah, dengan sekurang-kurangnya dua bandar di pulau Sumatera masih terputus hubungan pada Ahad.
Untuk mempercepatkan penghantaran bantuan, pihak berkuasa mengerahkan dua kapal perang dari Jakarta.
“Terdapat dua bandar yang memerlukan perhatian penuh kerana terputus hubungan iaitu Tapanuli Tengah dan Sibolga,” kata Ketua BNPB, Suharyanto, dalam satu kenyataan.
Kapal bantuan itu dilaporkan tiba di Sibolga pada Isnin.
Keadaan cuaca yang mencabar serta kekurangan peralatan berat turut menjejaskan usaha mencari dan menyelamat.
Bantuan juga lambat tiba ke bandar paling terjejas, iaitu Sibolga, dan daerah Tapanuli Tengah di Sumatera Utara.
Lebih 1,000 orang terkorban di seluruh Asia Tenggara apabila hujan monsun lebat melanda sebahagian besar Indonesia, Thailand dan Malaysia.
Hujan lebat itu turut mencetuskan tanah runtuh, merosakkan jalan raya dan memutuskan talian komunikasi.
Musim monsun tahunan yang biasanya berlaku antara Jun dan September sering membawa hujan lebat sehingga mencetuskan banjir kilat serta tanah runtuh.
Keadaan semakin buruk akibat ribut tropika, dan jumlah korban banjir di Indonesia dan Thailand kini antara yang tertinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
PENYELARASAN BANTUAN
Video yang tular di media sosial menunjukkan penduduk berpusu-pusu melepasi penghadang runtuh, jalan yang ditenggelami air dan kaca berselerakan bagi mendapatkan makanan, ubat-ubatan serta gas.

Ada juga yang sanggup meredah air setinggi paras pinggang untuk sampai ke kedai serbaneka yang rosak.
Ketua Polis Negara Indonesia, Jeneral Listyo Sigit Prabowo mengarahkan anggotanya bertindak pantas untuk membantu mangsa banjir di pelbagai kawasan di seluruh Sumatera.
“Kita akan memastikan tindak balas pantas. Penduduk tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mendapatkan bantuan,” katanya semasa mengetuai mesyuarat penyelarasan banjir di Pos Sokongan Nasional Sumatera Utara di Tapanuli Utara, kelmarin.
Mesyuarat yang turut dihadiri Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan (Basarnas) Sumatera Utara, Ketua Agensi Pengurusan Bencana Wilayah (BPBD) Sumatera Utara dan ketua-ketua polis wilayah, adalah untuk menyelaraskan tindak balas kecemasan terhadap bencana alam di tiga wilayah terjejas.
Beberapa keputusan strategik dibuat dalam mesyuarat itu, termasuk mobilisasi logistik melalui udara dan darat, penyediaan pos penyelamat, perkhidmatan kecemasan dan perubatan serta penubuhan dapur lapangan.
Mesyuarat itu juga bersetuju untuk mengaktifkan semula sistem pengezonan bagi memastikan kesiapsiagaan kakitangan di semua kawasan yang terjejas bencana.
“Dalam situasi seperti ini, tiada siapa yang boleh bertindak sendirian. Semua elemen mesti dengan pantas, selaras dan tepat,” kata Listyo.
Beliau turut mengarahkan ketua-ketua polis wilayah untuk segera mewujudkan pos bersama di daerah terjejas bencana, memastikan talian komunikasi aktif dan menilai kawasan yang masih terpencil.
Penyelarasan antara Polis Negara, Angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI), Agensi Pengurusan Bencana Wilayah dan kerajaan tempatan juga akan dipergiatkan untuk penghantaran logistik udara ke kawasan sukar diakses, serta usaha memulihkan kemudahan komunikasi, elektrik dan keperluan asas.
Sementara itu, Ketua Polis Wilayah Sumatera Utara, Wishnu Hermawan Februarinto berkata, pihaknya merekodkan 503 bencana di wilayah itu sejak 24 November lalu.
“Kami mengerahkan helikopter dan trak logistik untuk sampai ke 70 kawasan terpencil,” katanya, sambil menyatakan Tapanuli Tengah mempunyai kawasan paling terpencil di Sumatera Utara.
Katanya, 19 balai polis di bawah bidang kuasanya telah menubuhkan dapur lapangan, manakala 25 dapur Unit Perkhidmatan Pemenuhan Nutrisi (SPPG) dikerahkan untuk menyokong penyediaan keperluan asas kepada mangsa banjir di wilayah itu.










