LONDON: Para saintis memberi amaran sebahagian bahan kimia sintetik yang menjadi tunjang kepada sistem makanan global ketika ini meningkatkan kadar kanser, masalah perkembangan saraf dan ketidaksuburan serta menjejaskan asas pertanian dunia.
Beban kesihatan akibat pendedahan kepada phthalates, bisphenols, racun perosak dan bahan kimia kekal dianggarkan mencecah sehingga AS$2.2 trilion (RM9.03 trilion) setahun iaitu hampir menyamai jumlah keuntungan 100 syarikat tersenarai awam terbesar dunia.
Para penyelidik menyatakan kerosakan ekosistem sebahagian besarnya masih tidak dinilai dari segi kos, namun anggaran minimum yang mengambil kira kerugian pertanian serta kos pematuhan piawaian keselamatan air bagi Pfas dan racun perosak menunjukkan beban tambahan sekitar AS$640 bilion (RM2.6 trilion).
Laporan itu juga memberi amaran tentang kemungkinan kesan terhadap demografi manusia, dengan unjuran antara 200 juta hingga 700 juta kelahiran mungkin tidak berlaku antara 2025 dan 2100 jika pendedahan kepada pengganggu endokrin seperti bisphenols dan phthalates berterusan pada kadar semasa.
Laporan berkenaan disediakan oleh puluhan saintis dari beberapa organisasi serta sejumlah universiti di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).
Kajian itu diterajui oleh pasukan teras dari Systemiq, sebuah syarikat yang melabur dalam perusahaan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim.
Para penulis menjelaskan, mereka menumpukan pada empat jenis bahan kimia tersebut kerana ia merupakan antara yang paling meluas dan paling banyak dikaji, dengan bukti kukuh mengenai mudarat terhadap kesihatan manusia dan ekologi.
Seorang ahli pasukan itu, Philip Landrigan, pakar pediatrik dan profesor kesihatan awam global di Boston College menyifatkan laporan tersebut sebagai ‘panggilan’ mengejut.
“Dunia benar-benar perlu sedar dan mengambil tindakan terhadap pencemaran kimia. Saya berpendapat masalah pencemaran kimia sama serius dengan isu perubahan iklim,” katanya.










