WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan terhadap dua lagi hakim Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) selepas mereka menolak cubaan Israel untuk menamatkan siasatan jenayah perang di Gaza.
Setiausaha Negara, Marco Rubio, yang sebelum ini telah mengenakan sekatan terhadap beberapa hakim dan pendakwa dalam kes tersebut, mengaitkan tindakan baharu ini dengan undian Isnin lalu di mana kedua-dua hakim itu menyokong majoriti dan mengekalkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant.
“Kami tidak akan bertoleransi terhadap penyalahgunaan kuasa ICC yang melanggar kedaulatan AS dan Israel serta secara salah meletakkan individu AS dan Israel di bawah bidang kuasa ICC,” kata Rubio dalam satu kenyataan.
“Kami akan terus memberi tindak balas dengan akibat yang signifikan dan nyata terhadap penggunaan undang-undang sebagai senjata oleh ICC dan keterlaluan mahkamah tersebut,” tambahnya.
Ini menjadikan jumlah hakim ICC yang dikenakan sekatan oleh pentadbiran Trump sekurang-kurangnya lapan orang, termasuk sekurang-kurangnya tiga pendakwa antaranya Ketua Pendakwa, Karim Khan.
Mahkamah ICC yang berpangkalan di The Hague menolak sekeras-kerasnya sekatan baharu itu, menyifatkannya sebagai serangan terang-terangan terhadap kemerdekaan institusi kehakiman yang tidak berat sebelah.
Netanyahu, memuji tindakan AS itu menerusi platform X.
Hakim yang dikenakan sekatan baharu ialah Gocha Lordkipanidze, bekas Menteri Kehakiman Georgia, dan Erdenebalsuren Damdin dari Mongolia.
Sekatan ini melarang kedua-dua hakim memasuki AS serta menyekat transaksi harta atau kewangan mereka di ekonomi terbesar dunia itu. Lordkipanidze pernah berkhidmat sebagai profesor sambilan di Universiti Columbia, New York.
Keputusan 44 muka surat yang dikeluarkan pada Isnin lalu mengekalkan siasatan terhadap dakwaan jenayah perang yang dilakukan oleh Israel di Gaza.
Netanyahu dan Gallant masing-masing berdepan tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan dalam serangan berterusan Israel di wilayah Palestin, yang dilancarkan selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023. -AGENSI











