AS harap Thailand, Kemboja pulihkan gencatan senjata Isnin depan - Utusan Malaysia

AS harap Thailand, Kemboja pulihkan gencatan senjata Isnin depan

SEBUAH jambatan musnah akibat dibedil tentera udara Thailand di Pursat, Kemboja. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menyatakan harapan Thailand dan Kemboja dapat memulihkan gencatan senjata selewat-lewatnya pada Isnin atau Selasa depan bagi menghentikan pertempuran yang tercetus semula antara kedua-dua negara itu.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, Washington berusaha memastikan semua pihak mematuhi komitmen yang dipersetujui sebelum ini.

“Kami bekerja keras untuk memastikan perjanjian itu dipatuhi. Kami optimis tetapi tetap berhati-hati dan berharap ia dapat dicapai menjelang Isnin atau Selasa,” katanya kepada pemberita, semalam.

Dalam pada itu, menteri luar negara anggota ASEAN dijadual mengadakan mesyuarat di Kuala Lumpur pada Isnin bagi membincangkan krisis berkenaan.

Rubio turut memaklumkan beliau telah mengadakan perbincangan telefon dengan Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow pada Khamis lalu dan pentadbiran AS akan meneruskan rundingan lanjut hujung minggu ini.

Presiden AS, Donald Trump sebelum ini mendakwa pentadbirannya berjaya mendesak satu gencatan senjata awal dan meletakkan konflik Thailand-Kemboja sebagai antara pertikaian yang telah diselesaikan.

“Kedua-dua pihak telah menandatangani komitmen bertulis. Namun, komitmen itu kini tidak dipatuhi apabila masing-masing saling menuding jari,” katanya sambil menegaskan usaha AS kini tertumpu untuk membawa kedua-dua negara kembali ke meja rundingan.

Trump mempertahankan pendekatan diplomasi AS dengan menyatakan ia berjaya menghentikan pertempuran buat sementara waktu sebelum konflik kembali tercetus.

Konflik berkenaan berpunca daripada pertikaian wilayah melibatkan sempadan era kolonial sepanjang kira-kira 800 kilometer serta beberapa tapak runtuhan kuil purba di kawasan sempadan.

Pertempuran terbaharu bulan ini mengorbankan sekurang-kurangnya 21 orang di Thailand dan 18 di Kemboja, selain memaksa lebih 800,000 penduduk meninggalkan kediaman masing-masing. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×