WASHINGTON: Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (DHS) menandatangani kontrak bernilai hampir AS$140 juta (RM574.9 juta) untuk membeli enam pesawat Boeing 737 bagi kegunaan operasi pengusiran pendatang.
Kontrak itu ditandatangani dengan syarikat berpangkalan di Virginia, Daedalus Aviation, pertama kali dilaporkan oleh Washington Post pada Rabu sebelum disahkan oleh DHS.
Dalam kenyataan kepada The Guardian, jurucakap DHS, Tricia McLaughlin, mengesahkan pembelian tersebut dan berkata usaha baharu itu akan menjimatkan AS$279 juta (RM1.14 billion) dana pembayar cukai dengan membolehkan Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) beroperasi dengan lebih berkesan, termasuk menggunakan corak penerbangan yang lebih efisien.
“Presiden, Donald Trump dan Setiausaha DHS, Kristi Noem komited untuk memastikan pendatang tanpa izin yang melakukan jenayah dikeluarkan dari negara ini dengan cepat dan berkesan,” katanya.
The Guardian turut menghubungi Daedalus Aviation untuk mendapatkan maklum balas. Menurut laman webnya, syarikat itu menyediakan operasi penerbangan komprehensif dan responsif yang disesuaikan dengan keperluan setiap misi, meliputi operasi kecemasan oleh kerajaan sehingga repatriasi antarabangsa yang sensitif.
“Sama ada beroperasi dalam ruang udara berisiko, lokasi terpencil atau situasi diplomatik sensitif, kami menyediakan sokongan penerbangan yang menggerakkan orang dan misi ke hadapan,” kata kenyataan itu.
Menurut Washington Post, pembiayaan bagi armada baharu itu datang daripada bajet AS$170 bilion (RM698 bilion) yang diluluskan Kongres untuk dasar sempadan dan imigresen Trump. Bajet itu juga merangkumi pembinaan pusat tahanan baharu, operasi penguatkuasaan ICE dan pembinaan tembok sempadan.
Kontrak terbaharu ini merupakan sebahagian daripada langkah-langkah yang diambil DHS bagi memenuhi janji Trump untuk melaksanakan operasi pengusiran terbesar dalam sejarah AS.
Pada November lalu, Wall Street Journal melaporkan bahawa Noem dan penasihat kanan Trump, Corey Lewandowski telah mengarahkan ICE membeli 10 pesawat Boeing 737 daripada Spirit Airlines untuk memperluas penerbangan pengusiran dan berkemungkinan untuk kegunaan perjalanan mereka sendiri, menurut sumber yang mengetahui rancangan tersebut.
Namun, pegawai memberi amaran bahawa pembelian pesawat adalah jauh lebih mahal berbanding menyewa penerbangan. Setelah diteliti, mereka mendapati Spirit sebenarnya tidak memiliki pesawat tersebut dan pesawat berkenaan juga tidak mempunyai enjin. Rancangan itu akhirnya digantung.
Pada Oktober, DHS mengumumkan bahawa 1.6 juta orang telah meninggalkan AS secara sukarela manakala 500,000 lagi telah diusir. Namun pakar mempersoalkan angka ini kerana kekurangan ketelusan dalam data imigresen. -AGENSI










