CHICAGO: Anak kepada ketua kartel dadah Mexico terkenal, Joaquin “El Chapo” Guzman, mengaku bersalah di sebuah mahkamah di Chicago semalam bagi pertuduhan pengedaran dadah dalam satu perjanjian yang menyaksikan dia bersetuju bekerjasama dengan pendakwa AS bagi mendapatkan hukuman lebih ringan.
Joaquin Guzman Lopez, seorang daripada empat putera pemimpin kartel Sinaloa itu, menukar pengakuan asalnya daripada tidak bersalah kepada bersalah bagi tuduhan pengedaran dadah dan penglibatan dalam aktiviti jenayah terancang, menurut dokumen mahkamah yang difailkan selepas penahanannya di Texas pada Julai 2024.
Berdasarkan perjanjian tersebut, pendakwa raya bersetuju untuk membenarkan hakim mempertimbangkan hukuman lebih ringan daripada penjara seumur hidup, bergantung pada tahap kerjasama tertuduh.
Perjanjian itu turut menyatakan keputusan muktamad berhubung pelonggaran hukuman terletak sepenuhnya di tangan mahkamah.
Guzman Lopez juga diwajibkan membayar penalti berjumlah AS$80 juta sebagai hasil kegiatan jenayahnya.
Abangnya, Ovidio Guzman, sebelum ini turut mengaku bersalah pada Julai 2025 bagi konspirasi pengedaran dadah dan penglibatan dalam organisasi jenayah sebagai sebahagian daripada perjanjian untuk hukuman lebih ringan, sekali gus mengesahkan bahawa “Los Chapitos” telah mengambil alih operasi bapa mereka.
“El Chapo”, kini berusia 68 tahun, menjalani hukuman penjara seumur hidup di penjara keselamatan maksimum di Colorado selepas ditangkap pada 2016 dan disabitkan kesalahan pada 2019.
Menurut pendakwa raya, Guzman Lopez telah menunjukkan penerimaan penuh terhadap tanggungjawab atas jenayahnya, yang melibatkan penghantaran “ratusan atau ribuan kilogram” kokain, heroin, methamphetamine dan ganja dari Mexico ke Amerika Syarikat.
Guzman Lopez sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pengedaran dadah, pengubahan wang haram dan pemilikan senjata.
Dia ditahan selepas tiba di Texas menaiki pesawat persendirian bersama pengasas bersama kartel Sinaloa, Ismael “Mayo” Zambada, yang mendakwa diculik dan dibawa ke AS tanpa kerelaannya.









