80 peratus penduduk Hat Yai pulang ke rumah selepas sembilan hari dilanda banjir - Utusan Malaysia

80 peratus penduduk Hat Yai pulang ke rumah selepas sembilan hari dilanda banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Bandar Hat Yai kini memasuki fasa pemulihan sepenuhnya selepas sembilan hari dilanda banjir besar yang menjejaskan ratusan ribu penduduk.

Menurut pihak berkuasa wilayah, kira-kira 80 peratus penduduk sudah kembali ke rumah masing-masing bagi menilai kerosakan, manakala selebihnya masih berada di pusat pemindahan sementara.

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, mengarahkan semua sisa banjir dan barangan rosak dibersihkan segera, dengan sasaran penduduk kembali pulih dalam tempoh tujuh hari, manakala kerja pembersihan menyeluruh di seluruh Hat Yai perlu disiapkan dalam masa 14 hari.

Tinjauan di pusat pemindahan Universiti Prince of Songkla (PSU) mendapati lebih 10,000 mangsa pernah ditempatkan di situ sebelum ini. Namun, kebanyakan sudah mula berpindah pulang berikutan penutupan berperingkat pusat berkenaan dan pemindahan mangsa ke lokasi baharu di Ban Phru – Wat Thep Chum Num.

Semalam, suasana kelihatan lebih teratur apabila ramai mangsa bersiap dengan sarapan sambil menunggu ahli keluarga menjemput mereka pulang.

Namun, ada yang meluahkan kebimbangan kerana kediaman mereka masih belum dibersihkan, malah sebahagian mendapati rumah musnah sama sekali.

Seorang warga emas berusia 79 tahun berkata rumahnya hanya tinggal rangka.

“Saya tidak tahu bagaimana hendak meneruskan lagi. Saya sudah tua… tahun ini paling teruk. Rumah saya… tinggal rangka saja,” katanya.

Hat Yai merupakan daerah paling teruk terjejas, membabitkan lebih 226,000 isi rumah dan 406,823 penduduk.

Pejabat Wilayah Songkhla memaklumkan kerja pemulihan infrastruktur sedang giat dilaksanakan, termasuk bekalan elektrik yang menjejaskan 176,000 akaun dan lebih 90 peratus daripadanya telah dipulihkan.

Bekalan air bersih pula sudah pulih sekitar 60 peratus, dengan pengagihan air diteruskan di kawasan yang masih terputus bekalan.

Masalah telekomunikasi juga menunjukkan perkembangan positif dengan 85 peratus perkhidmatan telah dipulihkan, manakala sektor pertanian terus dinilai kerana puluhan ribu tanaman musnah.

Selain itu, lebih 8,000 kenderaan ditemui tenggelam, dan pihak berkuasa sedang membuat penilaian untuk bantuan pampasan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN