MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya 13 orang terkorban manakala 98 yang lain cedera selepas sebuah kereta api tergelincir di negeri Oaxaca, selatan Mexico, pada Ahad lalu, menurut pihak berkuasa negara itu.
Tentera Laut Mexico dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian berkenaan melibatkan kereta api yang dikendalikan oleh agensi tersebut, dengan jumlah korban dikemas kini berbanding laporan awal.
“Akibat kemalangan ini, 139 orang berada dalam keadaan selamat, 98 cedera dan malangnya 13 orang kehilangan nyawa,” menurut kenyataan itu.
Punca kejadian masih dalam siasatan, manakala usaha bantuan dan rawatan kepada mangsa yang cedera sedang dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan.










