YouTube padam lebih 700 video, tutup akaun tiga pertubuhan hak asasi Palestin

YouTube padam lebih 700 video, tutup akaun tiga pertubuhan hak asasi Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Platform penstriman video YouTube memadam lebih 700 video serta menutup akaun milik tiga pertubuhan hak asasi manusia Palestin utama tanpa sebarang notis, lapor The Intercept pada Selasa, dipetik Anadolu Agency.

Tiga pertubuhan yang terjejas ialah Al-Haq, Al Mezan Center for Human Rights, dan Palestinian Centre for Human Rights (PCHR), kesemuanya aktif menerbitkan rakaman dan laporan yang mendakwa berlakunya pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh rejim Zionis di Gaza serta Tebing Barat yang diduduki.

Menurut laporan itu, antara kandungan yang dipadam termasuk siasatan terhadap serangan udara Israel, testimoni mangsa terselamat, serta dokumentasi pembunuhan wartawan Palestin-Amerika, Shireen Abu Akleh.

Tindakan tersebut berlaku pada awal Oktober lalu, tidak lama selepas kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan terhadap ketiga-tiga pertubuhan itu atas dakwaan bekerjasama dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Jurucakap YouTube mengesahkan akaun berkenaan ditamatkan selepas semakan dalaman dijalankan susulan sekatan yang dikenakan oleh Washington, dengan alasan syarikat itu terikat kepada undang-undang perdagangan dan sekatan antarabangsa yang berkuat kuasa.

Namun, pertubuhan hak asasi dan kumpulan Palestin menyifatkan tindakan YouTube itu sebagai usaha menyekat suara rakyat Palestin dan menghapuskan bukti penting mengenai kekejaman Israel.

Mereka turut mendakwa tidak menerima sebarang amaran atau notifikasi sebelum saluran mereka dipadam, dan menyatakan langkah tersebut menyasarkan laporan hak asasi manusia bukan kandungan ekstremis.

Sejak Oktober 2023, serangan berterusan Israel di Gaza telah mengorbankan hampir 69,000 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 170,000 orang.

Walaupun gencatan senjata antara Israel dan Hamas dicapai pada 10 Oktober lalu melalui pelan damai 20 perkara yang dicadangkan oleh Presiden AS, Donald Trump, rejim Israel dilaporkan beberapa kali melanggar perjanjian tersebut. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN