HANOI: Vietnam bersiap sedia menghadapi satu lagi ribut kuat di Laut China Selatan, ketika wilayah selatan-tengah negara itu masih bergelut pulih daripada banjir yang mengorbankan atau menyebabkan lebih 100 orang hilang.
Taufan Verbena memasuki Laut China Selatan awal Rabu, dengan peramal cuaca menjangkakan sistem itu akan menjadi lebih kuat apabila ia merentasi perairan terbuka di tengah Laut China Selatan esok.
Ribut dijangka bergerak perlahan ke arah barat selepas 28 November sebelum semakin lemah menjelang hujung minggu.
Agensi meteorologi Jepun dan Hong Kong juga meramalkan Taufan Verbena akan bertambah kuat dalam tempoh 24 hingga 48 jam akan datang.
Ribut itu bergerak ke kawasan selatan-tengah yang masih giat membersihkan lumpur, serpihan dan rumah rosak selepas beberapa hujan lebat mencetuskan banjir buruk.
Setakat semalam, sekurang-kurangnya 108 orang dilaporkan maut atau hilang, dengan 98 kematian disahkan dan 10 lagi hilang, manakala wilayah Dak Lak dan Khanh Hoa mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi.
Lebih 202,000 kediaman dilanda banjir manakala lebih 400 rumah musnah, dengan kerugian ekonomi meningkat kepada 13.08 trilion dong Vietnam (RM2 bilion).
Pihak berkuasa memberi amaran Taufan Verbena berpotensi membawa hujan lebat bermula 28 November, mencetuskan kebimbangan risiko tanah runtuh dan banjir kilat di kawasan yang sudah terjejas teruk akibat bencana sebelum ini.
Pasukan Tentera Wilayah 5 Vietnam mengadakan mesyuarat tergempar semalam untuk menyelaras usaha tindak balas terhadap ribut itu.
Tentera Wilayah 5 turut menghantar tiga pasukan ke Gia Lai, Dak Lak dan Khanh Hoa, yang teruk terjejas, untuk menyokong langkah pencegahan banjir serta bersiap sedia menghadapi taufan.
Verbena merupakan taufan ke-15 yang terbentuk di Laut China Selatan tahun ini, bersama lima lekukan tropika, menjadikannya tahun taufan kedua paling sibuk dalam tiga dekad, selepas 2017.- AGENSI










