Ukraine akur desakan AS, setuju serah wilayah kepada Russia

Ukraine akur desakan AS, setuju serah wilayah kepada Russia

VOLODYMYR ZELENSKY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Ukraine akur dengan permintaan Amerika Syarikat (AS) untuk menyerahkan wilayah timur kepada Russia dan mengundurkan pasukan tenteranya sebagai usaha mengakhiri perang yang berlarutan lebih empat tahun.

Menurut satu draf yang diperoleh AFP pada Khamis, Ukraine bakal menyerahkan wilayah timur Donbas kepada Russia dan bersetuju mengehadkan kekuatan tenteranya kepada 600,000 anggota di bawah satu pelan damai 28 perkara yang disokong Presiden AS, Donald Trump.

Walaupun jet pejuang Eropah akan ditempatkan di Poland bagi melindungi Ukraine, tiada anggota tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) akan ditempatkan di Ukraine.

Pelan tersebut juga merangkumi kemasukan semula Russia ke dalam kumpulan G8 dan mengintegrasikan semula negara itu dengan ekonomi global selepas hampir empat tahun dikenakan sekatan berat, walaupun pegawai AS menegaskan dokumen tersebut masih dalam peringkat draf.

“Presiden menyokong pelan ini. Ia adalah pelan yang baik untuk Russia dan Ukraine.

“Utusan khas Trump, Steve Witkoff dan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio ‘secara senyap’ mengusahakan pelan itu bersama Russia dan Ukraine selama kira-kira sebulan,” kata Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt kepada wartawan.

Beliau menolak kebimbangan pelan itu menggariskan banyak tuntutan maksimum Moscow.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, beliau menjangka akan membincangkan pelan itu dengan Trump dalam beberapa hari akan datang, menegaskan sebarang perjanjian mesti membawa keamanan bermaruah yang menghormati kemerdekaan dan kedaulatan Ukraine.

Zelensky juga bertemu delegasi Pentagon yang diketuai Setiausaha Tentera Darat AS, Daniel Driscoll di Kyiv.

PELAN DAMAI AS

Di bawah dokumen yang dilihat AFP, Crimea, Lugansk dan Donetsk akan diiktiraf sebagai wilayah Russia secara de facto, termasuk oleh AS.

Kyiv masih menguasai sebahagian Lugansk dan Donetsk yang membentuk kawasan industri Donbas di garis hadapan perang. Crimea dianeksasi Russia pada 2014.

PENYELAMAT Ukraine berdiri berhampiran kawah besar di lokasi serangan udara Russia di Zaporizhzhia. – AFP

Kawasan yang ditinggalkan Ukraine di Donetsk akan dijadikan zon nyahketenteraan yang tidak boleh dimasuki tentera Russia, menurut pelan itu.

Wilayah selatan Kherson dan Zaporizhzhia yang sebelum ini didakwa Russia sudah dirampas tenteranya pula akan ‘dibekukan’ di sepanjang garis pertempuran.

Pelan untuk Donbas, Kherson dan Zaporizhzhia selaras dengan tuntutan Russia sebelum ini.

Loji tenaga nuklear Zaporizhzhia yang diduduki Russia sejak Mac 2022 akan diawasi Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan tenaga elektriknya akan dikongsi antara Russia dan Ukraine.

Angkatan tentera Russia kini menguasai sekitar satu perlima wilayah Ukraine, kebanyakannya sudah musnah akibat pertempuran bertahun-tahun.

Ukraine sebelum ini menegaskan tidak akan mengiktiraf kawalan Russia, namun mengakui mungkin terpaksa mendapatkan semula wilayahnya melalui diplomasi.

KESELAMATAN UKRAINE

NATO bersetuju tidak menempatkan tenteranya di Ukraine, menamatkan harapan Kyiv untuk mempunyai pasukan pengaman Eropah, malah Ukraine akan turut dilarang menyertai NATO mengikut perlembagaannya sendiri serta peraturan gabungan itu.

Ia seiring tuntutan Russia dan bercanggah dengan garis merah yang selama ini ditegaskan Ukraine.

Ukraine juga akan menerima ‘jaminan keselamatan yang boleh dipercayai’ namun tidak memperincikannya.

Menurut pegawai kanan AS, di tengah-tengan skandal rasuah yang semakin meruncing sehingga menyebabkan dua menteri disingkirkan, Kyiv membuang permintaan audit bantuan asing dan menggantikannya dengan seruan untuk pengampunan penuh.

“Dijangka Russia tidak akan menyerang negara jiran dan NATO tidak akan berkembang lebih jauh,” menurut dokumen itu.

Namun semua sekatan akan diaktifkan semula bersama tindak balas ketenteraan yang lebih tegas jika Russia kembali menyerang Ukraine.

VOLODYMYR Zelensky (kiri) berjabat tangan ketika menyertai pertemuan dengan Daniel Driscoll, di Kyiv. – AFP

Kandungan pelan itu mencetuskan spekulasi Moscow terbabit dalam penyediaannya.

“Nampaknya Russia mencadangkannya kepada AS dan mereka menerimanya,” kata satu sumber kanan Ukraine kepada AFP.

Namun pegawai AS menafikannya sambil menegaskan ia dirangka selepas rundingan selama beberapa minggu membabitkan Witkoff, Rubio, Ukraine dan Moscow.

Sejak kembali ke Rumah Putih, pendirian Trump mengenai perang Ukraine kerap berubah.

Beliau bertelingkah dengan Zelensky di Pejabat Oval pada Februari lalu namun, pada September beliau menegaskan Ukraine perlu cuba mendapatkan semula wilayahnya.

Trump juga mengenakan sekatan terhadap Russia selepas mengakui semakin kecewa dengan Presidennya, Vladimir Putin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×