AFAAHITI: Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh selepas tanah runtuh berlaku di kawasan perkampungan di Afaahiti, di timur pulau Tahiti, pada Khamis susulan hujan lebat berterusan selama seminggu.
Menurut Pesuruhjaya Tinggi Perancis di Polinesia Perancis, runtuhan setinggi kira-kira 30 meter itu menghanyutkan sebuah rumah dan menghentam sebuah lagi kediaman, menyebabkan kedua-duanya tertimbus sepenuhnya.
Beberapa mangsa masih dilaporkan hilang dan operasi mencari serta menyelamat giat dilaksanakan walaupun berdepan keadaan yang sangat mencabar berikutan struktur tanah yang tidak stabil.
“Tiada apa yang stabil di kawasan itu. Struktur tanah sangat tidak menentu dan pencarian mungkin mengambil masa yang lama,” kata pegawai tertinggi kerajaan Perancis di wilayah tersebut, Alexandre Rochatte.
Tanah runtuh itu berlaku di daerah Te Honu, Afaahiti–Taravao, kawasan cerun curam di pulau gunung berapi Tahiti Iti. Hujan lebat berpanjangan telah menyebabkan tanah menjadi tepu air lalu mencetuskan gelongsoran besar yang turut mengancam keselamatan pasukan penyelamat.
Pihak berkuasa memberi amaran risiko tanah runtuh susulan masih tinggi dan menasihatkan penduduk di kawasan cerun supaya berpindah ke lokasi lebih selamat.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan memberi jaminan bahawa negara berdiri teguh bersama komuniti yang terjejas.
“Tujuh nyawa telah terkorban dan ada yang masih hilang. Kami bersama anda dalam saat sukar ini,” katanya dalam kenyataan di platform X.











