Trump bergelut cari alternatif nadir bumi China

Trump bergelut cari alternatif nadir bumi China

GAMBAR yang disediakan oleh MP Materials menunjukkan pandangan udara lombong syarikat itu di Mountain Pass, California.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Scott Bessent kembali dari Carolina Selatan minggu lalu dengan memegang sekeping logam kecil dan mengisytiharkannya sebagai magnet nadir bumi pertama yang dihasilkan di negara itu dalam suku abad.

Beliau memberitahu Fox Business, kejayaan itu menunjukkan AS sedang mengakhiri cengkaman China ke atas rantaian bekalan bahan kritikal tersebut.

“Terima kasih kepada pusat pemprosesan mineral nadir bumi baharu syarikat eVAC di Carolina Selatan. Kita akhirnya merdeka semula,” kata Bessent.

Memecahkan dominasi China dalam pemprosesan dan pembuatan bahan itu, yang penting untuk semikonduktor, bateri dan peralatan ketenteraan kini menjadi keutamaan bagi pentadbiran Presiden, Donald Trump.

Ini termasuk mengenakan tarif dan alat ekonomi lain untuk membawa kembali industri nadir bumi ke AS, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara tersebut terhadap China.

Langkah tarif menyebabkan China mengehadkan eksport nadir bumi ke AS dan mendorong Trump menandatangani perjanjian dengan Australia, Malaysia, Kemboja serta Jepun.

AS dan China kini mencapai perjanjian gencatan perdagangan ke atas nadir bumi, tetapi China yang menguasai kira-kira 70 peratus perlombongan dan lebih 90 peratus kapasiti pemprosesan global, mempunyai kelebihan yang sukar dicabar oleh Trump.

Tiada penyelesaian mudah bagi AS untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pengeluaran mineral China yang penting untuk keselamatan negara, semikonduktor dan pemindahan pengeluaran tenaga daripada bahan api fosil kepada angin serta solar.

Menurut Tinjauan Geologi AS, negara itu mengimport 80 peratus daripada nadir bumi yang digunakannya pada 2024.

Bagi sesetengah mineral nadir bumi seperti disprosium, yang digunakan dalam pengeluaran cip dan samarium untuk aplikasi ketenteraan, dominasi pemprosesan oleh China meningkat sehingga 99 peratus.

Disprosesium dan terbium penting untuk magnet enjin kenderaan elektrik dan penjana turbin angin, selain kegunaan dalam telefon bimbit, lampu intensiti tinggi serta reaktor nuklear.

PERINGKAT AWAL PENGEKSTRAKAN

Ketua bahan mentah tenaga di Benchmark Mineral Intelligence, Adam Webb berkata, usaha pentadbiran Trump untuk mengurangkan kebergantungan AS terhadap pengeluaran mineral nadir bumi China dijangka mengambil masa bertahun-tahun.

Webb menegaskan, walaupun istilah ‘nadir bumi’ kedengaran seperti luar biasa, mineral tersebut sebenarnya banyak terdapat di kerak bumi. 

Namun, banyak deposit, termasuk di Ukraine yang menjadi fokus perjanjian Trump awal tahun ini, masih berada pada peringkat awal pengekstrakan.

“Bukan bermakna wujud kekurangan, tetapi China boleh mengehadkan jumlah yang dieksport,” kata Webb, sambil menambah mendapatkan lesen eksport dari Beijing boleh menjadi proses panjang dan sukar.

Greenland dan Brazil adalah dua lagi negara yang mempunyai deposit nadir bumi besar dan turut menjadi perhatian Trump.

Di AS pula, terdapat deposit di California, Wyoming dan Missouri, dengan lombong terbesar beroperasi di Mountain Pass, California kira-kira 60 batu dari Las Vegas.

Julai lalu, Pentagon menjadi pemegang saham terbesar di MP Materials, pengendali lombong di California, dengan rancangan membuka loji baharu ‘dari lombong ke magnet’ yang dinamakan 10X bagi menghasilkan magnet penting untuk jet pejuang F-35, dron dan kapal selam, menurut jabatan itu.

Di Amerika Utara, sumber nadir bumi yang diukur dan ditunjukkan dianggar merangkumi 3.6 juta tan di AS serta 14 juta tan di Kanada, menurut data tinjauan geologi.

Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding 44 juta tan yang dianggarkan di China.

Seiring dengan pelaburan langsung dan pegangan dalam industri keluli serta pembuat cip Intel, Jabatan Dalam Negeri menyatakan kesediaannya untuk membuat pelaburan langsung dalam syarikat mineral kritikal.

“Anda bersaing dengan modal negara kerana China memilih kawasan ini secara strategik sebagai bidang yang ingin mereka laburkan,” kata Setiausaha Dalam Negeri AS, Doug Burgum pada April lalu.

Burgum mencadangkan AS untuk menggunakan dana kekayaan negara untuk mempercepatkan pengeluaran.

PERLUMBAAN SEMAKIN RANCAK

Usaha AS untuk menyokong pengeluaran domestik sebelum ini gagal, apabila China menurunkan harga, menjadikan pembangunan nadir bumi tanpa sokongan tidak ekonomi berbanding kos pengeluaran lebih rendah serta perspektif strategik jangka panjang Beijing.

Lima tahun lalu, Pengarah Urusan Benchmark Mineral Intelligence, Simon Moores, memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Senat AS mengenai tenaga dan sumber semula jadi mereka yang melabur dalam kapasiti bateri serta rantaian bekalan hari ini kemungkinan akan menguasai industri untuk generasi akan datang.

“Masih belum terlambat untuk AS, tetapi tindakan perlu diambil sekarang,” katanya.

Lima tahun kemudian, perlumbaan untuk membentuk pakatan perdagangan berkaitan nadir bumi semakin rancak.

“Kira-kira setahun daripada sekarang, kita akan mempunyai begitu banyak mineral kritikal dan nadir bumi sehingga anda tidak tahu apa yang hendak dilakukan dengannya,” kata Trump kepada wartawan.

Kenyataan itu dibuat lapan bulan selepas Trump menuntut mineral bernilai AS$500 bilion (RM2 trilion) daripada Ukraine bagi menampung bantuan ketenteraan AS.

Pada September, kerajaan Pakistan menandatangani perjanjian bernilai AS$500 juta (RM2 bilion) dengan syarikat Amerika, US Strategic Metals, yang memberikannya akses kepada mineral seperti antimon dan tembaga.

“Namun, bolehkah AS menampung kekurangan dan mengurangkan cengkaman China terhadap rantaian bekalan bumi jarang?

“AS sudah mengambil langkah yang sangat signifikan. AS tidak boleh bergantung sendiri dalam jangka pendek kerana mengambil masa untuk membuka lombong dan membina kapasiti pemprosesan,” kata Webb.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN