Tentera pengaman Indonesia di Gaza fokus kesihatan, pembangunan semula - Utusan Malaysia

Tentera pengaman Indonesia di Gaza fokus kesihatan, pembangunan semula

PENDUDUK Palestin mendirikan khemah perlindungan di kawasan runtuhan bangunan di Gaza City. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Indonesia melatih sehingga 20,000 anggota tenteranya bagi melaksanakan tugas berkaitan kesihatan dan pembinaan sebagai persediaan untuk penyertaan dalam operasi pengaman di Gaza, demikian menurut Menteri Pertahanan, Sjafrie Sjamsoeddin.

Indonesia, negara dengan penduduk Islam terbesar di dunia, merupakan antara negara yang telah dibincangkan oleh Amerika Syarikat (AS) untuk menyertai pasukan penstabilan multinasional di wilayah bergolak itu, selain Azerbaijan, Mesir dan Qatar.

Menurut laporan Reuters minggu lalu, Washington telah menyediakan draf cadangan mengenai pembentukan pasukan antarabangsa yang diberi kuasa untuk menggunakan segala langkah perlu bagi demilitarisasi Gaza, mengawal sempadannya, melindungi orang awam serta memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan, selain menyokong pembentukan pasukan polis Palestin yang baru dilatih.

Indonesia bagaimanapun menegaskan belum ada keputusan rasmi mengenai bila tenteranya akan dihantar atau mandat apa yang bakal diberikan, mencerminkan ketidaktentuan terhadap usaha mewujudkan kehadiran antarabangsa di Gaza.

“Kita telah bersiap sedia dengan maksimum 20,000 anggota, namun fokusnya adalah kepada aspek kesihatan dan pembinaan,” kata Sjafrie kepada media.

“Kita menunggu keputusan selanjutnya mengenai usaha damai di Gaza.”

Beliau berkata, isu berkenaan turut menjadi agenda perbincangan antara Presiden Prabowo Subianto dan Raja Jordan, Raja Abdullah II, yang memulakan lawatan negara ke Indonesia pada Jumaat, berhubung inisiatif Presiden AS, Donald Trump.

“Ketika ini kita sedang menunggu kemungkinan peranan yang boleh dimainkan Indonesia dalam usaha damai tersebut,” katanya.

Beliau tidak mengulas mengenai jumlah tepat anggota yang akan dihantar serta tarikh penugasan, namun menegaskan keputusan muktamad terletak pada Prabowo.

Dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September lalu, Prabowo menyatakan kesediaan Indonesia untuk menghantar 20,000 anggota atau lebih sekiranya terdapat resolusi PBB yang memerlukan penglibatan tersebut. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×