KAZUNO: Tentera Jepun dikerah ke wilayah utara negara itu semalam bagi membantu pihak berkuasa tempatan memerangkap beruang liar yang semakin agresif, selepas peningkatan mendadak serangan terhadap penduduk di beberapa pergunungan.
Operasi tersebut dimulakan di bandar Kazuno, di wilayah Akita, selepas pihak berkuasa menerima permintaan segera daripada kerajaan tempatan yang kini bergelut dengan situasi luar kawalan akibat peningkatan serangan haiwan berkenaan.
Sejak beberapa minggu lalu, penduduk Kazuno dinasihatkan supaya menjauhi kawasan hutan tebal, tidak keluar rumah selepas gelap dan membawa loceng bagi menakutkan beruang yang berkeliaran mencari makanan berhampiran kediaman mereka.
Menurut Kementerian Alam Sekitar Jepun, lebih 100 serangan beruang dilaporkan di seluruh negara sejak April lalu, dengan 12 kematian direkodkan, jumlah tertinggi dalam sejarah dan dua pertiga daripada mangsa maut berasal dari wilayah Akita dan Iwate yang berdekatan.
“Penduduk hidup dalam ketakutan setiap hari. Serangan ini menjejaskan rutin harian penduduk, malah memaksa mereka membatalkan aktiviti luar dan pelbagai acara masyarakat,” kata Datuk Bandar Kazuno, Shinji Sasamoto.
Pasukan tentera tersebut akan membantu mengangkut, memasang dan memeriksa perangkap khas yang digunakan untuk menangkap beruang namun, haiwan yang berjaya ditangkap akan dimusnahkan oleh pemburu profesional yang lebih terlatih dan dilengkapi senjata sesuai.
Jumlah penampakan beruang meningkat enam kali ganda tahun ini dengan lebih 8,000 laporan diterima, mendorong gabenor wilayah berkenaan meminta bantuan rasmi daripada Pasukan Pertahanan Diri Jepun (SDF) minggu lalu.
Peningkatan jumlah beruang, perubahan iklim yang menjejaskan sumber makanan semula jadi, serta pengurangan populasi di kawasan luar bandar menyebabkan interaksi manusia dengan haiwan liar itu semakin kerap di Jepun.










