Taufan Kalmaegi hampiri Filipina, ribuan dipindahkan

Taufan Kalmaegi hampiri Filipina, ribuan dipindahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Beribu-ribu penduduk dipindahkan di wilayah pesisir Filipina pada Isnin menjelang ketibaan taufan yang dijangka melanda kawasan yang sebelum ini sudah terjejas teruk dengan beberapa ribut paling dahsyat di negara itu.

Taufan Kalmaegi kini menuju ke Pulau Leyte, membawa angin berkelajuan 120 kilometer sejam (km/j) dan tiupan sehingga 150 km/j, menurut perkhidmatan cuaca negara.

“Pemindahan sedang dijalankan di Palo dan Tanauan,” kata Pegawai Bencana Leyte, Roel Montesa, merujuk kepada dua bandar yang paling teruk dilanda ombak besar pada 2013, ketika Super Taufan Haiyan meragut lebih daripada 6,000 nyawa.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam, Randy Nicart, beribu-ribu penduduk di pulau jiran, Samar turut dipindahkan sejak Ahad selepas ombak setinggi tiga meter  diramal membadai kawasan itu.

“Sesetengah kerajaan tempatan terpaksa melakukan pemindahan paksa, termasuk bandar Guiuan, tempat taufan dijangka mendarat,” katanya.

Filipina dilanda purata 20 ribut dan taufan setiap tahun, sering membadai kawasan mudah bencana didiami jutaan rakyat yang hidup dalam kemiskinan.

“Dengan kemuncula Kalmaegi, negara ini sudah mencapai purata tahunan ribut tersebut. Sekurang-kurangnya tiga hingga lima lagi ribut dijangka sehingga akhir Disember,” kata Pakar Perkhidmatan Cuaca Negeri, Charmaine Varilla kepada AFP.

Varilla berkata, bilangan siklon yang lebih tinggi lazimnya berlaku semasa fenomena La Nina, corak iklim semula jadi yang menurunkan suhu permukaan di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik khatulistiwa.

Di selatan Leyte, di wilayah Kepulauan Dinagat, Gabenor, Nilo Demerey berkata, antara 10,000 hingga 15,000 orang dipindahkan lebih awal ke kawasan selamat.

“Kami sudah melaksanakan pemindahan awal sejak dua hari lalu, sementara masih ada masa,” katanya kepada AFP.

Pegawai Bencana, Joy Conales berkata, penduduk di bandar Loreto, Dinagat, diarahkan berpindah ke kawasan lebih tinggi.

Bandar tersebut mempunyai benteng pemecah ombak setinggi satu tingkat yang dibina untuk melindungi pusat bandar daripada ombak besar.

Para saintis memberi amaran ribut semakin kuat akibat perubahan iklim yang didorong manusia.

Filipina dilanda dua ribut besar pada September, termasuk Super Taufan Ragasa yang menumbangkan pokok, menerbangkan bumbung bangunan dan menyebabkan 14 kematian di Taiwan yang berdekatan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN