LONDON: Sebuah tandas diperbuat sepenuhnya daripada emas tulen bakal dilelong bulan ini oleh rumah lelong terkenal, Sotheby’s, dengan nilai permulaan mencecah AS$10 juta (RM41 juta), menjadikannya antara karya seni paling berharga di dunia.
Tandas yang dinamakan America itu merupakan hasil karya seniman Itali, Maurizio Cattelan, dan digambarkan Sotheby’s sebagai sindiran tajam terhadap pertindihan antara nilai komoditi dan hasil seni.
Selain bernilai tinggi, tandas berkenaan juga berfungsi sepenuhnya seperti tandas biasa di mana ia sama dengan versi yang pernah mencuri perhatian dunia apabila dicuri dalam rompakan berani di Istana Blenheim, England pada 2019.
Menurut Sotheby’s, lelongan akan berlangsung pada 18 November di New York, dengan harga permulaan berdasarkan berat emas 101.2 kilogram yang digunakan untuk membuatnya bernilai sekitar AS$10 juta mengikut harga semasa logam berharga itu.
Cattelan turut dikenali sebagai salah seorang artis paling berjaya di dunia dan antara karya terkenalnya termasuk Comedian, sebiji pisang yang dilekatkan pada dinding menggunakan pita pelekat yang dijual pada harga AS$6.2 juta (RM25 juta) dalam lelongan di New York tahun lalu.
Menurut Cattelan, karya America merupakan sindiran terhadap kekayaan melampau.
“Tak kira apa yang kamu makan, sama ada makan tengah hari AS$200 (RM838) atau hot dog AS$2 (RM2), hasilnya tetap sama di tandas,” katanya pernah bergurau.
Dua versi America dihasilkan pada 2016 di mana versi yang bakal dilelong ini dimiliki oleh seorang pengumpul seni yang enggan dikenali sejak 2017, manakala satu lagi pernah dipamerkan di Muzium Guggenheim, New York.
Ketika pameran di Guggenheim, lebih 100,000 pelawat beratur untuk mengalami sendiri karya tersebut yang boleh digunakan sepenuhnya kerana disambung pada sistem paip bangunan tersebut malah, muzium itu pernah menawarkan karya tersebut kepada Presiden AS, Donald Trump, selepas beliau meminta untuk meminjam lukisan Van Gogh.
Tandas emas itu akan dipamerkan di ibu pejabat baharu Sotheby’s di New York, Breuer Building, mulai 8 November hingga hari lelongan dan berbeza dengan pameran terdahulu di Guggenheim dan Blenheim, kali ini pengunjung hanya dibenarkan melihatnya dari dekat tetapi tidak dibenarkan menggunakannya.
“Boleh tengok, tapi tak boleh flush,” kata Sotheby’s dalam kenyataan. -AGENSI










