Sikap terbuka Thailand buat pelancong Israel ‘besar kepala’

Sikap terbuka Thailand buat pelancong Israel ‘besar kepala’

SEBUAH restoran di Koh Phangan meletakkan notis tidak membenarkan pengunjung Israel memasuki premisnya. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOH PHANGAN: Seorang pengusaha restoran di pulau peranginan terkenal Koh Phangan, Thailand, mengambil keputusan melarang kemasukan pelancong Israel selepas berbulan-bulan berdepan dengan sikap mereka yang dianggap biadab dan tidak menghormati peraturan tempat makan.

Bob, pemilik restoran Pun Pun Thai Food, berkata dia sudah hilang sabar selepas beberapa pelancong Israel didakwa mengambil tisu dan perasa makanan tanpa izin, duduk di meja tanpa membuat pesanan, serta memotong barisan pelanggan lain.

“Saya sudah lama bekerja dalam industri hospitaliti, tetapi tidak pernah berjumpa pelancong yang berkelakuan seperti ini,” katanya kepada Arab News.

Pada Oktober lalu, dia memasang papan tanda “No Israel” di hadapan restorannya sebagai amaran keras kepada pelancong dari negara itu.

Tindakan Bob mendapat perhatian meluas selepas beberapa insiden serupa dikongsi di media sosial. Dalam satu kejadian pada Mei lalu, seorang wanita Israel menjadi tular selepas diarah keluar oleh pekerja restoran di Koh Phangan kerana enggan mematuhi peraturan.

Wanita itu membalas dengan berkata, ‘Duit saya membina negara anda’ mencetuskan kecaman dalam kalangan pengguna media sosial Thailand.

Penduduk tempatan juga bimbang terhadap aktiviti perniagaan tidak sah oleh pelancong Israel yang didakwa menyewa rumah, membuka restoran, mengurus lawatan dan menyewakan motosikal tanpa lesen sah.

Lebih 200 penduduk dan pengusaha tempatan telah menandatangani petisyen kepada Gabenor wilayah Surat Thani, mendesak tindakan tegas terhadap kegiatan tersebut.

Menurut Biro Imigresen Thailand, sehingga akhir September lalu, seramai 2,627 warga Israel memohon lanjutan visa di Koh Phangan, menjadikan mereka kumpulan terbesar di bawah pemantauan bagi potensi aktiviti perniagaan haram.

Kehadiran mereka juga meningkat pesat, dengan lebih 350,000 pelancong Israel dijangka melawat Thailand tahun ini, peningkatan 25 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pensyarah kanan Universiti Srinakharinwirot, Dr. Manoch Aree, berkata sejak serangan Israel di Gaza pada 2023, Thailand menjadi destinasi pilihan rakyat Israel kerana keterbukaan budaya dan ketiadaan sentimen anti-Israel sebelum ini.

Namun, katanya, sikap tidak menghormati budaya tempatan dan eksploitasi ekonomi telah menimbulkan kebencian awam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×