BEIRUT: Seorang pegawai tertinggi ketenteraan Hezbollah, Ali Tabtabai, terbunuh dalam serangan udara Israel yang menggegarkan kawasan pinggir selatan Beirut semalam.
Serangan itu berlaku meskipun gencatan senjata yang ditaja Amerika Syarikat masih berkuat kuasa sejak setahun lalu selain merupakan yang pertama menyasarkan kawasan berhampiran ibu negara Lubnan dalam beberapa bulan.
Menurut kenyataan tentera Israel, Tabtabai yang juga ketua staf sementara Hezbollah, menjadi sasaran utama kerana peranannya memimpin serta memulihkan kesiapsiagaan unit-unit Hezbollah untuk berperang dengan Israel.
Hezbollah dalam kenyataan balas mengesahkan kematiannya dan menyifatkannya sebagai “panglima jihad besar” tanpa memperincikan peranan sebenar beliau.
Serangan di kawasan Haret Hreik itu turut mengundang kecaman pemimpin Hezbollah, Mahmoud Qmati, yang menyifatkannya sebagai tindakan melampaui “garis merah”.
Beliau berkata kepimpinan tertinggi Hezbollah akan menentukan bentuk tindak balas terhadap tindakan Israel itu.
Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan lima orang terkorban dan 28 lagi cedera selepas bangunan berbilang tingkat yang diserang runtuh dan menghempap kenderaan di jalan utama.
Keadaan cemas turut memaksa penduduk kawasan tersebut melarikan diri daripada kediaman masing-masing kerana bimbang serangan susulan.
Washington sebelum ini pernah mengenakan sekatan terhadap Tabtabai pada 2016 dan menawarkan ganjaran besar bagi maklumat mengenainya.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menegaskan negaranya tidak akan membenarkan Hezbollah membina semula kekuatan ketenteraannya dan mendesak kerajaan Lubnan melaksanakan kewajipan melucutkan senjata kumpulan tersebut.
Presiden Lubnan, Joseph Aoun pula menggesa masyarakat antarabangsa campur tangan untuk menghentikan serangan Israel yang semakin agresif sejak kebelakangan ini.
Serangan terbaru berlaku hanya seminggu sebelum kunjungan pertama Pope Leo ke Lubnan, yang sebelum ini dilihat sebagai sinar baharu rakyat negara itu.










