Ribuan penduduk Riau bantah kerajaan Indonesia ambil alih ladang sawit - Utusan Malaysia

Ribuan penduduk Riau bantah kerajaan Indonesia ambil alih ladang sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Ribuan penduduk di kawasan ladang sawit di Riau mengadakan protes bagi membantah tindakan pasukan khas perhutanan kerajaan mengambil alih ladang yang didakwa beroperasi secara haram di kawasan hutan, lapor Reuters.

Pasukan khas perhutanan di bawah Presiden Prabowo Subianto yang turut membabitkan anggota tentera serta pejabat pendakwa raya negeri melancarkan operasi besar-besaran tahun ini bagi mengekang kegiatan ladang sawit tidak berlesen di kawasan hutan.

Industri sawit pula memberi amaran tindakan tegas itu boleh menjejaskan bekalan global.

Setakat ini, kira-kira 3.7 juta hektar ladang sudah disita, dengan hampir separuh diserah kepada syarikat baharu milik negara, Agrinas Palma Nusantara (Agrinas), yang sekali gus menjadikannya syarikat sawit terbesar dunia dari segi keluasan tanah.

Dalam satu perhimpunan berhampiran pejabat pendakwa raya tempatan di Pekanbaru, dianggarkan 2,800 peserta menuntut Agrinas dan pasukan khas menghentikan operasi mereka di Riau.

Setiausaha Agung gabungan penduduk Riau (KOMMARI), Abdul Aziz, turut mempersoalkan asas undang-undang tindakan itu.

“Kami mahu mereka pastikan dahulu siapa pemilik sah tanah tersebut. Mereka tidak boleh sekadar merampas tanah yang telah kami usahakan bertahun-tahun, malah berdekad. Perkara ini sepatutnya dibawa ke mahkamah,” katanya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Agrinas, Kusdi Sastro Kidjan, menegaskan operasi pasukan khas dijalankan mengikut undang-undang sedia ada bagi memulihkan semula kawalan terhadap kawasan hutan serta membanteras penanaman sawit secara haram.

Beliau menambah Agrinas akan meneruskan operasinya di Riau dan wilayah lain di seluruh Indonesia, dengan mengekalkan standard tadbir urus korporat yang baik.

Setakat ini, pasukan khas berkenaan belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen oleh Reuters.

Indonesia merupakan pengeluar minyak sawit terbesar dunia, manakala Riau adalah wilayah dengan ladang sawit paling luas. Namun, tiada data rasmi mengenai jumlah sebenar tanah yang telah diambil alih di Riau atau berapa banyak yang dipindahkan kepada Agrinas.

Menurut agensi berita Antara, lebih 1,300 anggota keselamatan dikerahkan bagi mengawal perhimpunan besar itu yang menyaksikan ribuan peserta berarak di jalan-jalan utama Pekanbaru.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN