Remaja 17 tahun disyaki suspek utama letupan masjid Jakarta

Remaja 17 tahun disyaki suspek utama letupan masjid Jakarta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Letupan di sebuah masjid di ibu negara Indonesia yang mencederakan puluhan jemaah ketika solat Jumaat semalam, berkemungkinan merupakan satu serangan.

Seorang remaja berusia 17 tahun dikenal pasti sebagai suspek utama dalam kejadian yang berlaku di masjid di kompleks sebuah sekolah di kawasan Kelapa Gading, Jakarta.

Polis berkata, seramai 55 mangsa kini dirawat di hospital akibat kecederaan ringan hingga serius, termasuk melecur.

“Bunyinya sangat kuat. Saya tidak dapat bernafas kerana terlalu terkejut,” kata pekerja kantin sekolah yang berada berhampiran lokasi kejadian, Luciana, 43.

Beliau mendakwa, terdapat beberapa letupan berlaku, menyebabkan panik apabila puluhan orang bertempiaran melarikan diri dari kompleks berkenaan.

“Saya sangka ia litar pintas atau sistem pembesar suara yang meletup, kami sangat takut lalu segera berlari keluar,” katanya.

Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat, Sufmi Dasco Ahmad, ketika ditemui media selepas melawat hospital berkata, suspek itu kini sedang menjalani pembedahan, namun enggan mengulas lanjut mengenai butiran atau motif kejadian.

Dalam sidang media, Ketua Polis Bandaraya Jakarta, Asep Edi Suheri berkata, siasatan sedang dijalankan.

“Kami mengambil beberapa langkah termasuk menyiasat tempat kejadian, memasang garisan keselamatan dan mensterilkan kawasan tersebut,” katanya.

Agensi berita nasional Antara memetik Timbalan Menteri Keselamatan Negara, Lodewijk Freidrich, sebagai berkata dua letupan telah berlaku.

Indonesia mempunyai sejarah serangan terhadap gereja dan sasaran Barat, namun jarang sekali melibatkan masjid.

Kegiatan militan Islam juga dilaporkan banyak dibanteras dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Kompleks itu terletak di kawasan padat di Jakarta Utara atas tanah milik tentera laut, yang turut menempatkan ramai anggota tentera dan pegawai bersara.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN