Presiden Filipina nafi dakwaan jadi penagih dadah tegar - Utusan Malaysia

Presiden Filipina nafi dakwaan jadi penagih dadah tegar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. menafikan dakwaan serius kakaknya, Senator Imee Marcos, yang menuduh beliau sebagai penagih dadah tegar dan bergantung kepada kokain sehingga menjejaskan pentadbiran negara.

Jurucakap Presiden menegaskan tuduhan itu merupakan isu lama yang berulang kali dinafikan.

Menurut Timbalan Setiausaha Komunikasi, Claire Castro, dakwaan tidak berasas tersebut dipercayai bertujuan mengalihkan perhatian daripada siasatan rasuah projek kawalan banjir yang dikaitkan dengan sekutu Imee di Senat.

“Senator Imee, saya harap anda bersikap patriotik dan membantu siasatan yang sedang dijalankan Presiden sendiri. Jangan lindungi mereka yang korup,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa ini, suruhanjaya bebas, jawatankuasa Senat dan beberapa agensi kerajaan sedang menyiasat dakwaan bahawa ahli politik menerima komisen besar daripada kontraktor projek kawalan banjir yang didakwa tidak siap atau tidak wujud.

Pendedahan itu mencetuskan kemarahan rakyat Filipina yang sering berdepan bencana banjir dan taufan.

Imee Marcos sebelum ini rapat dengan bekas Presiden Rodrigo Duterte, pengkritik lantang Marcos. Duterte kini ditahan di Belanda selepas dituduh melakukan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan operasi anti-dadah yang mengorbankan ribuan nyawa, dan keluarganya menuduh pentadbiran Marcos bertanggungjawab atas penahanan tersebut.

Dalam satu perhimpunan besar di Manila, Imee mendakwa ketagihan dadah adiknya bermula sejak era pemerintahan ayah mereka dan berlarutan sehingga kini, sehingga menjejaskan kesihatan serta keupayaannya mentadbir negara. Beliau turut menuduh isteri dan anak-anak Marcos terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Anak Presiden, Sandro Marcos, menolak dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab serta berbahaya. Tuduhan berkenaan muncul selepas Duterte sebelum ini membuat dakwaan sama, namun laporan perubatan serta ujian makmal polis pada 2021 menunjukkan Marcos negatif kokain dan methamphetamine.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN