ISTANBUL: Dua kanak-kanak serta seorang ibu maut manakala bapa mereka kini bertarung nyawa selepas dipercayai mengalami keracunan makanan ketika menikmati hidangan jalanan berhampiran sebuah lokasi tumpuan pelancong di Istanbul, lapor media Turkiye semalam.
Menurut pegawai kesihatan wilayah Istanbul, Abdullah Emre Guner, insiden itu berlaku pada Rabu selepas keluarga berkenaan menikmati beberapa jenis makanan popular yang dijual di sebuah restoran di kawasan pesisir Ortakoy, berhampiran jambatan merentasi Selat Bosphorus.
Keluarga tersebut yang menginap di daerah Fatih dilapor jatuh sakit tidak lama selepas makan sebelum dikejarkan ke hospital.
Dua kanak-kanak masing-masing berusia enam dan tiga tahun disahkan meninggal dunia.
Guner menerusi platform X memaklumkan ibu bapa mereka turut dirawat di unit rawatan rapi.
Bagaimanapun, Menteri Kehakiman Turkiye, Yilmaz Tunc hari ini mengesahkan si ibu turut meninggal dunia beberapa jam kemudian.
“Contoh sampel telah diambil dari semua lokasi yang diketahui tempat keluarga itu makan, dan empat individu telah ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial X.
Media tempatan melaporkan keluarga itu dipercayai menikmati beberapa hidangan popular termasuk midye dolma (kerang berisi nasi), kumpir (kentang bakar berinti) dan kokorec, iaitu usus kambing panggang.
Terdapat juga laporan mengatakan keluarga berkenaan merupakan rakyat Turkiye yang menetap di Jerman dan pulang bercuti ke Istanbul.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden tragis itu. -AGENSI











