DAYR ISTIYA: Tentera Israel menyatakan anggotanya menembak mati dua suspek militan di sebuah bandar di Tebing Barat yang diduduki, sementara pihak berkuasa Palestin mendakwa pelampau peneroka Israel membakar sebuah masjid di kawasan berkenaan.
Keganasan oleh peneroka Yahudi meningkat ketara dalam beberapa minggu kebelakangan ini di seluruh Tebing Barat, sehingga mencetuskan kecaman antarabangsa dan kritikan luar biasa daripada sebahagian anggota tentera serta kerajaan Israel sendiri.
“Askar IDF yang beroperasi berhampiran komuniti Karmei Zur menumpaskan dua suspek pengganas yang dalam perjalanan untuk melancarkan serangan,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan.
Kementerian Luar Palestin yang berpusat di Ramallah dalam kenyataan berasingan pula mendakwa peneroka Israel membakar Masjid Hajja Hamida berhampiran bandar Deir Istiya di utara Tebing Barat.
“Tindakan ini jelas mencabuli kesucian rumah ibadat dan mencerminkan rasisme mendalam yang memacu tindakan peneroka di bawah perlindungan kerajaan pendudukan,” kata kenyataan itu.
Gambar yang dirakam AFP dari lokasi kejadian menunjukkan naskhah al-Quran hangus terbakar, dinding masjid hitam legam akibat asap serta satu bahagian dinding diconteng dengan grafiti.
Serangan bakar masjid itu berlaku sehari selepas ketua tentera Israel berikrar akan menghentikan keganasan peneroka susulan gelombang serangan yang menyasarkan penduduk Palestin di Tebing Barat.
“Kami sedar berlakunya insiden keganasan terbaru membabitkan penduduk Israel menyerang Palestin dan warga Israel sendiri. Saya mengecam sekeras-kerasnya,” kata Leftenan Jeneral Eyal Zamir.
Israel telah menduduki Tebing Barat sejak 1967, dengan lebih 500,000 peneroka Yahudi kini tinggal di kawasan penempatan yang dibina di wilayah tersebut dan hanya sebahagian kecil daripada mereka terlibat dalam keganasan terhadap penduduk Palestin, namun penduduk Palestin mendakwa pihak berkuasa Israel jarang menangkap pelaku.
Kesemua penempatan Israel di Tebing Barat adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa. -AGENSI










